Pulau Pinang kesal tidak dibenarkan masuk sekolah

in Politik by


BUTTERWORTH – Kerajaan Pulau Pinang menzahirkan rasa kesal kerana tidak dibenarkan memasuki kawasan persekolahan untuk mengadakan program tertentu pada waktu selain sesi persekolahan, baru-baru ini.


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu menunjukkan sikap tidak adil dan double standard pihak Kementerian Pendidikan kepada kerajaan negeri yang diterajui oleh parti politik yang berlainan.


“Saya hanya nak bagi peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Lembu, Permatang Pauh, saya dihalang. Tetapi kita boleh lihat bahawa ahli politik Umno boleh masuk dalam sekolah dan paksa murid-murid kibarkan bendera Umno, nyanyi lagu Umno serta melaungkan slogan Umno.


“Apabila kita masuk sekolah pada hari minggu, tak ada pelajar dan guru-guru tetapi kita dilarang. Kita hanya nak bagi sedikit peruntukan kepada sekolah, tetapi mereka hanya nak raih modal politik,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis pelancaran The Park @Mak Mandin, di sini, hari ini.


Menurutnya, perkara itu menunjukkan seolah-olah bahawa Umno sudah hilang sokongan ahli parti sehingga terpaksa bergantung kepada pelajar-pelajar di sekolah.


“Itu saya rasa tidak patut berlaku. Kalau kita masuk sebagai Ketua Menteri, saya tak bawa bendera DAP, saya tak minta mereka nyanyikan lagu DAP, tetapi saya dihalang.


“Walhal Umno pula bawa masuk bendera dan boleh nyanyikan lagu, tetapi boleh masuk sekolah. Itu yang kita lihat double standard, tak patut berlaku,” katanya.


Guan Eng turut menggesa Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya memberi penjelasan mengenai perkara itu sama ada kerajaan Pulau Pinang tidak dibenarkan masuk dan mengadakan program di mana-mana sekolah di negeri ini.


“Semasa pemerintahan bekas-bekas perdana menteri sebelum ini tak pernah berlaku macam ini, hanya sekarang semasa diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja yang buat macam ini.


“60 tahun tak pernah buat, sekarang baru buat. Adakah ini hadiah 60 tahun kepada rakyat Malaysia apabila semua perkara di politikkan, termasuk sekolah-sekolah yang sepatutnya jadi tempat suci dan bebas daripada unsur-unsur politik kotor, tetapi dibenarkan,” katanya.


Beliau secara berseloroh turut mencadangkan supaya nama menteri pendidikan ditukar kepada menteri politik sekiranya menteri yang berkenaan gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya.


 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]