Semua pihak perlu main peranan

in Uncategorized by


IPOH –  Insiden anjing memasuki Masjid Al-Ansar di Bandar Meru Raya baru-baru ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi menjaga keselamatan rumah ibadah berkenaan.


Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim (Macma) Ipoh, Hafiz Ng berkata, selain ahli jawatankuasa masjid, kariah juga perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing agar insiden sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.


Menurutnya, tanggungjawab berkenaan merujuk kepada peranan setiap ahli kariah di surau atau masjid berkenaan untuk memastikan rumah ibadah itu sentiasa berada dalam keadaan yang selamat setelah digunakan


“Contohnya jika orang terakhir yang tinggalkan masjid, dia hendaklah menutup lampu, kipas, air paip atau tutup pintu.


“Tetapi ada juga pihak pihak kalau letak papan tanda minta untuk tutup pintu dan sebagainya kata tak bagus. Bagi saya ia bagus sebagai peringatan untuk orang ramai. Maklumlah manusia sentiasa lupa. Kadang-kadang perkara seperti ini  perlu diingatkan selalu,” katanya kepada Sinar Harian.


[ARTIKEL BERKAITAN: Lapan ekor anjing masuk masjid]


Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) berkata demikian ketika diminta mengulas insiden anjing memasuki sebuah masjid di Meru Raya, baru-baru ini.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan India  Muslim Perak (PRIM), Mohd Arib Aliah berkata, setiap masjid atau surau perlu memiliki pagar demi menjamin keselamatan.


Katanya, selain menjamin keselamatan, beliau berkata, ia juga boleh menghalang insiden berkenaan daripada berulang pada masa hadapan.


“Anjing tu mana boleh masuk dalam masjid? Kita mesti kena halang kerana takut kena samak tetapi biasanya masjid ada karpet nak samak macam mana kaedahnya dan ini satu isu. Pada masa akan datang kena jaga.


“Oleh itu, setiap masjid atau surau mesti ada pagar. Kalau tidak, macam-macam perkara boleh berlaku. Orang pecah masuk dan sebagainya.


“Cuba bayangkan, kalau masjid itu dekat dengan kawasan hutan dan tidak ada pagar, mungkin binatang lain pun boleh masuk, babi hutan atau binatang-binatang lain,” katanya.


29 September lalu, Kariah Masjid Al-Ansar, Bandar Baru Meru terkejut apabila mendapati sekumpulan anjing liar masuk ke dalam ruang masjid itu.


Kejadian sekitar 4.15 pagi itu disedari selepas mereka melihatnya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]