Tutup Veteran Umno sekiranya terus menjadi kudis

in Politik by


KANGAR – Pemuda Umno Perlis menyarankan agar Kelab Veteran Umno ditutup daripada terus menjadi kudis yang membarah kepada parti disaat sedang melakukan persiapan kepada PRU14.


Ketua Pemuda Umno Perlis, Syed Atief Syed Abu Bakar berkata, sekiranya Kelab Veteran Umno berterusan mengeluarkan kenyataan yang berbaur dendam dan kebencian peribadi, serta cuba memecah-belahkan kesepakatan dalam parti, maka Pemuda Umno Perlis menuntut supaya Majlis Tertinggi mengeluarkan larangan kepada pertubuhan itu daripada menggunakan nama parti.


”Sebagaimana beberapa pertubuhan dan kelab yang menyokong perjuangan Umno, mereka juga diharap dapat memainkan peranan sama memperkuatkan parti.


”Sekiranya ahli-ahli Veteran begitu kepingin dan terhegeh-hegeh mencari publisiti dengan membuat kenyataan terbuka mengenai Umno, mereka boleh bertanding memegang apa-apa jawatan rasmi dalam parti yang membolehkan mereka mengeluarkan kenyataan selaras dengan kapasiti jawatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.  


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Veteran Umno yang mendesak pucuk pimpinan parti menyaring pegangan akidah calon-calon beragama Islam yang akan bertanding pilihan raya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Umno perlu saring akidah calon]


Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, saringan itu perlu bagi memastikan calon berkenaan benar-benar berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.


”Cukup-cukuplah dengan perpecahan yang dibuat oleh seorang bekas veteran Umno yang pernah memegang jawatan presiden,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]