22 penduduk bersyukur dapat geran tanah

in Edisi Utara by


KUALA NERANG – Hasrat 22 penduduk kampung di sekitar Padang Terap untuk memiliki tanah sendiri akhirnya tercapai selepas menerima geran tanah dari Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Kampung Padang Nyior hari ini.


Abd Halim Majid, 58, dari Kampung Tong Pelu berkata, dia sangat gembira selepas dimaklumkan dengan pemberian geran tanah oleh kerajaan negeri selepas mengusahakannya hampir 10 tahun.


Katanya, dia dan keluarganya sangat gembira kerana tanah seluas satu hektar diusahakannya itu sudah menjadi hak milik sepenuhnya.


“Sebelum ini kami sekeluarga  tinggal di atas tanah berstatuskan permintaan sahaja dan kini dapat tarik nafas lega apabila menjadi hak milik.


“Melalui tanah ini diharap saya dapat membesarkan anak-anak serta bercucuk tanam bagi menambahkan lagi pendapatan.


“Oleh itu saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang meluluskan permohonan tanah yang dipohon selama ini,” katanya yang mengusaha tanah seluas 1.5 hektar.


Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Menteri Besar Walkabout ke Padang Terap, hari ini.


Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, kerajaan hari ini sentiasa peka dengan masalah rakyat terutamanya di luar bandar.


Katanya, kerajaan negeri akan meluluskan tanah kepada mereka yang mengusahakannya terutamanya bagi menambahkan pendapatan serta tidak mempunyai sebarang masalah.


“Saya berharap penerima geran hari ini dapat memanfaatkan sepenuhnya tanah yang diberi oleh kerajaan negeri supaya dijadikan tanah komersial.


“Kerajaan mempunyai pelbagai agensi bagi membantu petani di luar bandar dan mereka perlu meminta khidmat nasihat dalam menjayakan aktiviti tanaman supaya sesuai dengan pasaran,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]