DAP sindir Umno isu CPC

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – “Kalau jemputan itu kepada DAP, apa (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan pemimpin Umno akan kata? Itu jawapan saya, cukup,” ujar Penasihat DAP, Lim Kit Siang secara ringkas tapi cukup sinis.


Demikian respons beliau ketika diminta mengulas undangan diterima Umno bersempena Kongres Nasional Parti Komunis China (CPC) ke-19 pada 18 Oktober nanti, di mana situasi itu secara tidak langsung menepis segala tohmahan kononnya DAP bersekongkol dengan pihak komunis selama ini.


Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Duta Besar ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek menyifatkan jemputan diterima sebagai salah satu pengiktirafan oleh kerajaan China terhadap kewujudan Umno, apatah lagi CPC merupakan salah satu parti politik yang terbesar di dunia.


Dalam perkembangan lain, Kit Siang berharap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad dapat memberi jawapan sama ada akan hadir atau tidak pada Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi, 14 Oktober ini.


“Seminggu lalu, saya ada jemput beliau datang ke perhimpunan itu bagi menjelaskan kepada negara (tentang) bagaimana beliau menangani isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad).


“Inilah satu isu yang menjatuhkan nama baik Malaysia, mengapa Malaysia sekarang diketengahkan sebagai global kleptokrasi dipimpin oleh pencuri, perompak, penyamun dan penyangak,” katanya.   


Menurut Kit Siang, peluang itu tidak seharusnya disia-siakan oleh Dzulkifli berikutan himpunan terbabit disifatkan sebagai platform terbaik untuk beliau berbuat demikian.


“Saya harap beliau boleh jawab (sama ada) berani atau tidak datang ke Padang Timur, PJ (Petaling Jaya) pada perhimpunan berkenaan untuk menjelaskan perkara ini.


“Kalau beliau tidak mampu menangani isu ini, bagaimana beliau boleh jadi efektif dan berkesan dalam kempen anti rasuah,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan tinjauan di Pasar Besar Seremban, di sini, semalam.


Turut hadir, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke bersama Timbalannya, P Gunasekaran serta beberapa pucuk pimpinan lain.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]