Kementerian Pendidikan mahu atasi salah guna dadah

in Nasional by


KUALA NERANG – Kementerian Pendidikan sedia berbincang dengan pihak berkenaan bagi mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar sekolah.


Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerjasama antara jabatan dan agensi berkenaan penting supaya isu penyalahgunaan dadah itu dapat ditangani dengan berkesan.


“Kita bersedia untuk bekerjasama dalam apa juga aspek yang membolehkan kita mengurangkan masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.


“Betullah seperti kata Datuk Nur Jazlan Mohamed (Timbalan Menteri Dalam Negeri), (masalah ini) amat membimbangkan dan kita usaha buat kolaborasi dengan agensi lain menerusi NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan),” katanya selepas melawat Pusat Pengeluaran dan Pengembangan Benih Cendawan Volvarela di sini, hari ini.


Turut hadir, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.


Mahdzir berkata demikian semasa diminta mengulas pendedahan Nur Jazlan bahawa 420 sekolah di seluruh negara berisiko tinggi menghadapi masalah penyalahgunaan dadah yang serius.


Ujian rambang terhadap 36,675 pelajar sekolah pada 2015 mendapati 1,475 daripada mereka positif dadah di mana 1,075 orang atau 73 peratus positif dadah jenis stimulan amfetamina manakala selebihnya positif dadah jenis kanabis.


Menurutnya Kementerian Pendidikan mempunyai senarai sekolah berkenaan dan ia juga mengambil tindakan dengan kerjasama polis secara berterusan.


“Kementerian tidak akan berputus asa dan sentiasa berterusan melaksanakan program-program yang dapat mengekang masalah ini daripada berlarutan,” katanya.


Sementara itu, Mahdzir meminta DAP supaya akur dengan arahan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang yang melarang mengadakan pertandingan ‘DAP dan Pulau Pinang’ di semua sekolah rendah di negeri itu  tahun depan sempena ulang tahun ke-10 pentadbiran parti itu. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]