MTUC tuntut gaji minimum RM1,800

in Nasional by


SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu gaji minimum yang diperkenalkan pada tahun 2012 dinaikkan kepada RM1,800 dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat.


Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Razak akan mengumumkan dasar terbaharu ini apabila membentangkan Bajet 2018 akhir bulan ini.


Solomon berkata, dasar gaji minimum RM1,800 seharusnya selari dengan aspirasi kepimpinan perdana menteri yang mahu melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi.


“Selari dengan aspirasi perdana menteri menjadikan rakyat Malaysia masyarakat berpendapatan tinggi, perdana menteri mengumumkan pelaksanaan dasar gaji minimum. Tetapi kadar pada hari ini tidak memadai untuk pekerja khususnya rakyat Malaysia merasai kehidupan yang berkualiti,” kata beliau.


Katanya, MTUC mahu gaji minimum semasa dinaikkan sebanyak AS$50 (sekitar RM200) seminggu atau AS$200 (sekitar RM800) sebulan di mana ia akan membawa kepada gaji minimum yang dicadangkan RM1,800.


Selepas mengambil kira analisis ekonomi kesatuan-kesatuan sekerja di peringkat global juga memutuskan negara-negara membangun dan sedang membangun seharusnya memberi tambahan AS$50 seminggu untuk membawa kadar gaji minimum sehingga RM1,800.


“Maklumat yang dikumpulkan MTUC sejak kebelakangan ini menunjukkan kos hidup di negara kita telah meningkat dengan kadar yang tinggi. Ini realiti pada hari ini,” kata beliau.


Oleh itu kata Solomon, MTUC mahu kadar RM1,800 diperkenalkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.


“MTUC telah menghantar senarai cadangan sebagai input untuk Bajet 2018, berharap ia akan diberi pertimbangan oleh Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan,” kata beliau yang juga setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank.


MTUC telah mengadakan 1 forum berkaitan gaji minimum di ibu negara semalam. Forum itu yang memfokus perbincangan “Asia Berjuang Untuk AS$50+: Hentikan Ketamakan Korporat”, turut mencadangkan keperluan had gaji minimum di negara ini disemak semula dengan mengambil kira pelbagai perkembangan sosioekonomi.


“Mengambil kira pendirian kepimpinan Najib yang mahu melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi, usaha awal perlu diambil untuk menaikkan gaji minimum. Ini masa yang sesuai untuk mengkaji semula gaji minimum,” katanya.


Susulan gaji minimum yang dilaksanakan pada tahun 2012, gaji minimum dikaji semula dengan Perintah Gaji Minimum 2016 dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2016 ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.


Perintah tersebut melibatkan semua pekerja di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik (pembantu rumah) sebagaimana yang terkandung dalam Perintah Gaji Minimum 2012.


Melalui Perintah Gaji Minimum 2016, kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.


Pada tahun 2012, Najib mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 atau RM3.85 sejam.


Dalam pengumuman lima tahun lalu, Najib berkata, kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada paras antara RM1,200 hingga RM1,500.


“Oleh itu, sudah tiba masanya kadar semasa dikaji semula, dan dinaikkan kepada RM1,800 kerana RM1,800 adalah kadar yang munasabah pada hari ini,” kata Solomon.


Solomon berkata, salah seorang ahli panel iaitu Timbalan Pengerusi Bantah TPPA Azlan Awang telah berkongsi pandangan bahawa purata kadar kos barangan di Malaysia tujuh kali lebih mahal berbanding di Australia meskipun nilai mata wang jauh berbeza.


“Maklumat mengenai perbezaan purata kadar kos harga barangan adalah sesuatu yang mengejutkan. Apa pilihan yang kita ada bagi pekerja-pekerja di Malaysia?” kata Solomon.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]