Pesta arak lambang kedegilan DAP

in Politik by


SHAH ALAM – Kelantangan pemimpin DAP yang berkeras mempertahan dan mahu pesta arak diadakan sebelum ini, menyerlahkan hakikat sebenar sikap parti itu.


Ketua Penerangan Pemuda Pas, Hishamuddin Abdul Karim berkata, meskipun menyaksikan bantahan ramai, DAP tetap dengan kedegilannya untuk meneruskan acara berkenaan.


“DAP sengaja menjadikannya sebagai eksperimen untuk memprovokasi, mencabar dan memperlekeh sensitiviti awam terutamanya umat Islam Melayu di negara ini.


“Malah, DAP menzahirkan kedudukan politik sebagai kuasa untuk memaksa kehendak mereka dituruti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim sebelum ini mengingatkan Pas supaya tidak mencampuri urusan penganjuran festival makanan dan minuman yang membabitkan minuman keras di negeri itu.


Beliau mengingatkan Pas kadar AIDS dan isu sosial di Kelantan lebih tinggi berbanding Selangor walaupun pesta arak tidak dianjurkan di negeri itu.


Sebelum ini, media melaporkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi kebenaran kepada penganjuran festival makanan dan minuman Jerman pada 12 & 13 Oktober ini di Centro Mall tetapi melarang penggunaan perkataan “Oktoberfest” dan penyertaan orang Islam.


Festival itu merupakan acara peribadi dan dianjurkan secara tertutup.


Menurutnya lagi, sikap DAP sebenarnya satu ancaman kepada masa depan keharmonian dan keutuhan negara.


“Demi sokongan golongan tertentu, mereka mengangkat dan memperjuang isu ini. Sedangkan ia mendatangkan mudarat kepada pelbagai kepentingan awam.


“Rakyat Malaysia yang matang menerima realiti bahawa arak menjadi minuman golongan tertentu terutama kalangan bukan Islam. Tetapi menjadikannya keraian dengan berpesta besar-besaran bukanlah budaya negara ini. Ia jelas diimport dari luar,” katanya lagi.


Sebelum ini juga, sekumpulan Ahli Parlimen DAP dan PKR mengeluarkan kenyataan bersama membantah larangan pesta arak yang telah diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.


Ahli Parlimen DAP, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun, Teresa Kok, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen PKR,Datuk Dr Tan Kee Keong kesal kerana DBKL berlagak jadi jaguh agama dan mencadangkan agar Menteri Wilayah Persekutuan supaya mengarahkan DBKL supaya menarik balik penolakkan permohonan ‘pesta arak’ tersebut.


Hishamuddin dalam masa sama turut mendakwa mahu mensekularkan negara ini, sekali gus menggugat Islam yang menjadi tonggak dan Perlembagaan Negara ini.


“Tatkala gagal untuk kehendaknya dijayakan, DAP menjadikannya sebagai isu politik untuk membakar sentimen secara tidak matang.


“Walhal bantahan dikemukakan adalah berkait langsung dengan landskap hidup di Malaysia dan nilai hormat yang perlu diakuri,” jelasnya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]