Petronas komited perkasakan Stem di Terengganu

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Hampir 400 murid daripada tiga buah sekolah rendah di sekitar Terengganu menyertai program Petronas Stem Fair 2017 yang berlangsung di Kolej Vokasional Dungun, semalam.


Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, program yang memasuki tahun kedua bermatlamat untuk mempromosikan pembangunan modal insan memupuk minat pelajar terhadap  mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem)  seawal darjah satu.


“Program Stem Fair 2017 merupakan salah satu komitmen Petronas yang dijalankan dengan matlamat untuk meningkatkan penguasaan mata pelajaran Stem melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.


Stem Fair 2017 merupakan kemuncak daripada aktiviti-aktiviti yang terkandung di dalamPelaburan Sosial Korporat (CSI) Petronas iaitu Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP).


Turut hadir dalam program tersebut adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Matsor Ismail.


“Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sentiasa mengalu-alukan program dan aktiviti berteraskan pendidikan yang di jalankan oleh Petronas di dalam memperkasakan matapelajaran Stem seterusnya melahirkan modal insan yang mampu menjadi pemimpin pelapis negara di masa hadapan.


“Program ini adalah sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia yang mensasarkan nisbah 60 peratus untuk kemasukan dalam bidang sains, teknikal, vokasional dan 40 peratus dalam bidang seni,” katanya.


Antara aktiviti menarik yang dijalankan di StemFair 2017 termasuklah demonstrasi uji kaji sains, pertunjukan sains, kuiz interaktif dan persembahan projek sains dan matematik oleh pelajar yang terlibat.


Sepanjang tahun ini, lebih daripada 1500 orang pelajar dari sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara mendapat manfaat menerusi aktiviti-aktiviti pendidikan di bawah Program Sentuhan Ilmu Petronas.


Selain itu, guru-guru dari sekolah terpilih turut diberi pendedahan Pedagogi Pendidikan Stem melalui Bengkel Pembangunan Professional Guru di Kuala Lumpur.


Dalam sesi tersebut, Petronas turut menyumbang bantuan kelengkapan persekolahan kepada seramai 393 pelajar PSIP dari SK Serdang, SK Tok Kah dan SK Kompleks Rantau Abang.




 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]