PIBGN gesa langkah pencegahan awal dadah

in Nasional by


SHAH ALAM – Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggesa supaya setiap pihak berkaitan mengambi langkah pencegahan dari peringkat awal bagi membendung gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.


Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, menerusi statistik dinyatakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, ia menunjukkan bahawa setiap pihak perlu memberi perhatian secara lebih serius bagi menangani gejala tersebut.


“Kerajaan dah nyatakan bahawa dadah merupakan musuh nombor satu negara, namun begitu, masyarakat mengharapkan supaya langkah-langkah lebih jitu diambil bagi menangani permasalahan ini,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Terdahulu, Nur Jazlan memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan mengenal pasti sebanyak kira-kira 420 sekolah di seluruh negara berisiko menghadapi masalah penagihan dadah.


Sehubungan itu, Mohamad Ali berkata, langkah pencegahan secara berterusan perlu dilaksanakan dalam memastikan usaha untuk menangani gejala penagih dadah sejak dari peringkat awal dapat dicapai.


“Sebagai contoh, ujian ar kencing di sekolah sepatutnya dilakukan secara lebih kerap dengan membuat pemeriksaan mengejut di sekolah-sekolah seluruh negara.


“Kita hendaklah membanteras dari awal dan bukannya hanya untuk memulihkan penagih sahaja,” katanya.


Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini merupakan bukti jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak bawah umur yang terlibat dengan gejala penagihan dadah mampu bertindak di luar kawalan dan hilang pertimbangan diri.


Katanya, pendekatan secara bersepadu dari aspek langkah-langkah pencegahan, pendidikan, kesihatan, agama, psikologi dan lain-lain perlu dilaksanakan selepas ini.


“Kita kena buat pemantauan dan penyiasatan rapi di atas keterlibatan mana-mana pelajar dalam gejala penagihan dadah ini,” katanya.


Tambah beliau, kumpulan-kumpulan samseng di luar juga seringkali mensasarkan pelajar sekolah  untuk dijadikan sebagai pengedar dan pengguna dadah.


“Barangkali ada juga yang jadi kuda tungganggan kumpulan-kumpulan samseng ini dan disebabkan itu permasalahan ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]