Projek Saloma Link bermula hujung tahun ini

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pembinaan jambatan bagi pejalan kaki di sini yang diberi nama Saloma Link yang akan menghubungkan pusat bandar raya dengan Kampung Baru dijadual dimulakan pada penghujung tahun ini dan siap dalam masa satu setengah tahun.


Kos permulaan RM20 juta diperuntukan bagi projek tersebut.


“Ia bukan jambatan biasa, ia akan menjadi ikon pembangunan Kuala Lumpur. Saya yakin projek ini akan menarik lebih ramai  pelancong ke Kampung Baru,” kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Affendi Zahari kepada Bernama.


Saloma Link sepanjang 68 meter akan menghubung antara Lorong Raja Muda Musa 3 berhampiran Stesen LRT Kampung Baru dengan Jalan Saloma yang terletak di sisi bangunan Menara Public Bank berhadapan Jalan Ampang, tidak jauh daripada Menara Berkembar Petronas.


Arkitektur mengagumkan ini akan merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), kata Affendi.


“Ia akan dihiasi sistem pencahayaan  canggih yang akan menonjolkan keunikan jambatan ini pada waktu malam, sama seperti Bridge of Peace di Tbilisi, Georgia.


“Darinya kita boleh melihat Menara Berkembar tanpa sebarang halangan, sesuai untuk pelancong  mengambil gambar. Jajaran laluannya menepati sudut terbaik untuk menampakkan bangunan ikon negara KLCC,” katanya.


Beliau berkata konsep arkitekturnya akan menyamai ‘Sirih Junjung’.


“Pembinaan Saloma Link adalah selaras dengan rancangan pembangunan RM43 bilion Kampung Baru dalam tempoh 20 tahun,” kata Affendi. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]