Rai pengorbanan wanita

in Edisi Terengganu by


SEBERANG TAKIR – Minggu Wanita dan Kesihatan Dun Seberang Takir berlangsung meriah di padang bola Perumahan Telaga Daing, di sini, dengan pelbagai pengisian acara menarik.


Antara pengisian program adalah forum perdana, doktor pakar Institut Jantung Negara (IJN) bersama komuniti, pertandingan busana muslim, pertandingan memasak bubur asyura dan sebagainya.


Menteri Besar yang juga Adun Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata,  program berskala besar yang memberi fokus kepada golongan wanita itu diadakan adalah bagi meraikan sumbangan dan pengorbanan mereka.

Golongan istimewa juga turut mengambil bahagian dalam acara car free hour.


“Kita sedia maklum bahawa wanita memainkan peranan yang cukup besar bukan sahaja sebagai suri rumah tetapi melakukan kerja-kerja lain termasuk turut sama bekerja bagi membantu meringankan beban suami.


“Jadi, kita adakan program ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada golongan wanita untuk sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit dengan lebih awal.

Orang ramai turut menjalani pemeriksaan kesihatan.


“Sekarang ini, banyak berlaku kematian mengejut akibat masalah kesihatan dan atas dasar itu juga kita ingin memberi penekanan terhadap pencegahan adalah lebih baik daripada merawat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui hadir meluangkan masa mengacau bubur asyura bersama orang ramai, di sini.


Hadir sama, isteri beliau, Toh Puan Seri Halina Zakaria.


Dalam pada itu, pada program sama turut diadakan pertandingan memasak bubur asyura melibatkan penyertaan seramai 55 pasukan.

Pegawai kesihatan memberi penerangan mengenai pelbagai jenis ubat.
Ahmad Razif (kiri) membuat pelepasan acara car free hour.


Menurut Ahmad Razif, pertandingan sedemikian merupakan acara tahunan di peringkat Dun Seberang Takir, namun tahun ini turut disertai agensi kerajaan.


“Biasanya penyertaan melibatkan kampung-kampung, namun kali kita perluas lagi dengan menjemput agensi kerajaan yang lain.


“Selain meraikan bulan Muharram, pertandingan memasak bubur asyura secara beramai-ramai ini mampu memperkukuhkan permuafakatan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Ahmad Razif bersama golongan wanita yang hadir dan dirai.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]