Rancang laksana lebih banyak projek mitigasi banjir

in Edisi Sabah Sarawak by


KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak berharap untuk melaksanakan lebih banyak  projek mitigasi banjir, khususnya di kawasan yang kerap kali dilanda bencana itu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


Beliau berkata pada masa ini, beberapa projek telah dilaksanakan di seluruh negeri terutama di kawasan bandar seperti sistem baraj di Kuching, projek tebatan banjir di Sibu serta ‘pump gate’ di Bau dan Empangan Bengoh.


“Sistem baraj di Sungai Sarawak mempunyai keupayaan untuk mengawal kadar limpahan air sungai ketika musim monsun timur laut serta hujan luar biasa dan juga untuk mengimbangi paras air sungai sekali gus mengurangkan risiko banjir,” katanya.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak ketika melancarkan Bulan  Kesiapsiagaan Nasional 2017 di Tebingan Kuching di sini hari ini. Beliau berkata dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah diiktiraf lima bintang oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 5 Jan 2016, atas pengurusan bencana banjir yang cekap dan terbaik semasa bencana alam itu melanda Sarawak pada Disember 2015.


“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama yang cemerlang daripada semua agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pengurusan bencana di negeri ini,” katanya.


Abang Johari berkata kerajaan juga sedar betapa pentingnya tenaga rakyat setempat digemblengkan dengan matlamat supaya komuniti sendiri terlibat sama dalam usaha bersiap sedia menghadapi bencana.


Justeru, katanya Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti (CERT) telah ditubuhkan pada 2010 berfungsi sebagai pasukan yang akan bertindak di peringkat awal di lokasi bencana sebelum ketibaan agensi penyelamat.


Katanya program CERT yang ditaja Petronas sejak 2015 menjalinkan kerjasama dengan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri, Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.


“Seramai 1,500 orang telah dilatih sebagai anggota CERT dan untuk tahun ini, Petronas memperuntukkan sejumlah RM1 juta sebagai dana untuk melaksanakan program CERT di seluruh negeri Sarawak,” katanya.


Abang Johari berkata bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana, penglibatan NGO juga amat penting dalam memberi pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan bagi memastikan  kelancaran penyaluran perkhidmatan.


Selain itu katanya, kerajaan negeri memberi peruntukan untuk pembelian drone bagi memudahkan usaha membuat tinjauan awal di kawasan bencana sekiranya lokasi itu tidak boleh diakses melalui jalan darat dan penyediaan komunikasi HF/VHF bagi mewujudkan jaringan komunikasi alternatif ketika berlaku bencana.


Katanya, untuk memudahkan bantuan bencana dapat disalurkan dengan kadar segera, Tabung Pengurusan Bencana Peringkat Negeri telah diwujudkan dan berharap kerajaan pusat dapat menyediakan peruntukan awal bagi tabung berkenaan sebelum berlakunya bencana.


“Begitu juga kita memerlukan bantuan dana dari segi menaik taraf pusat-pusat pemindahan dengan membekalkan kemudahan seperti tandas dan pihak polis Kontinjen Sarawak juga memerlukan peralatan tambahan seperti jaket keselamatan dan bot penggantian enjin sangkut,” katanya.-Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]