Sathia tuntut pemain fokus, berdisiplin

in Sukan by


PENGENDALI Felda United, B Sathianathan mahu pemainnya kekal fokus dalam sesi latihan bagi memastikan momentum kecemerlangan dapat diteruskan menjelang pertemuan dengan Kedah dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Jengka, 15 Oktober ini.


Menurutnya, rentak kecemerlangan yang telah dicapai dalam tiga perlawanan terakhir menang ke atas Kedah dan JDT dalam saingan Liga Super dan ke atas PKNP FC pada saingan suku akhir Piala Malaysia merupakan tonik cukup berharga buat pasukannya.


“Saya mengharapkan agar pemain dapat mempersembahkan corak permainan seperti yang dipamerkan ketika menang ke atas JDT.


“Saya percaya jika aksi sebegitu berulang, kita mampu untuk mencipta sesuatu ketika menentang Kedah,” katanya.


Bagaimanapun, kata pengendali berusia 59 tahun itu, Kedah adalah pasukan kuat biarpun The Fighters  pernah menumpaskan pasukan itu 3-1 dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini.


Katanya, kemenangan tersebut bukan satu ukuran yang boleh digunakan apatah lagi skuad Lang Merah itu pasti hadir dengan kekuatan berbeza.


“Saya tidak mahu pemain melihat kejayaan 3-1 itu sebagai alasan untuk mereka ambil sikap sambil lewa. Persaingan di peringkat separuh akhir memang lain jika nak banding dengan liga.


“Dalam separuh akhir, kami perlu berada di tahap kompetitif.” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]