Arah pokok bahaya ditebang

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Kemalangan maut yang mengorbankan dua nyawa dalam kejadian di Mengabang Lekar, kelmarin, diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri apabila memutuskan untuk melaksanakan kerja-kerja menebang kesemua pokok yang membahayakan di atas bahu jalan di semua kawasan di negeri ini termasuk sebahagian pokok besar di Batu Rakit, bermula hari ini.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, kerajaan negeri juga turut memutuskan untuk tidak lagi membenarkan penanaman pokok di bahu jalan serta mengarahkan pejabat daerah mengenal pasti masalah melibatkan pokok yang boleh membahayakan keselamatan umum.


“Kerja-kerja menebang pokok turut dibuat melibatkan pokok yang mudah rapuh dan membahayakan yang ditanam di atas bahu jalan bermula dari Besut hingga Kemaman, termasuk kawasan rekreasi, tempat awam dan kawasan yang dilingkungi tanaman kelapa,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Pejabat Menteri Besar, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.


Mohd Jidin berkata, kerja-kerja tersebut melibatkan pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Perhutanan Negeri, pihak sukarelawan dan Rela.


Mengulas kemalangan melibatkan dua lelaki maut dihempap pokok dalam kejadian di Mengabang Lekar, beliau menyifatkan ia sebagai tidak diduga dan di luar kawalan sambil menjelaskan kejadian tersebut bukan berpunca daripada pokok tumbang, sebaliknya dahan pokok besar spesis ‘Khya’ yang terletak di atas bahu jalan tersebut patah.


Dalam laporan akhbar semalam, dua lelaki termasuk seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut, manakala tiga lagi parah setelah kenderaan yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok di Jalan Batu Rakit berdekatan Kampung Mengabang Lekar, di sini, kelmarin.


“Tindakan segera telah pun dibuat oleh MBKT dan kebetulan kita telah mengambil masa tiga jam untuk bersihkan jalan sebab dahan terlalu besar dan kita telah mengambil keputusan sebentar tadi (semalam) melalui arahan Menteri Besar bahawa kita akan menebang sebahagian besar pokok di tepi jalan di Batu Rakit ini kerana pokok ini lilitannya melebihi 0.8 meter,” katanya.


Mohd Jidin yang juga Adun Permaisuri berkata, terdapat kira-kira 30 pokok Khya di kawasan Mengabang Lekar yang ditanam sepanjang 100 meter.


Sementara itu, Datuk Bandar MBKT, Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, pihaknya bercadang melantik arboris atau pakar bedah pokok untuk mengenal pasti keadaan sebenar pokok-pokok besar termasuklah pokok rhu di sekitar Batu Burok.


Beliau menjelaskan, walaupun pokok-pokok tersebut kelihatan elok di luar, namun keadaan di dalam tidak dapat dikenal pasti kecuali melalui pemerhatian pakar.


Beliau berkata, sekiranya pokok-pokok rhu yang lama itu terpaksa ditebang, pihaknya tidak menolak untuk menggantikannya dengan yang baharu di kawasan rekreasi itu.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]