DBI Properties: Polis masih cari Ustaz Zubir

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Polis masih lagi mengesan seorang lelaki yang Zubir Yahya atau Ustaz Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes DBI Properties.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya masih mengesan Zubir Yahya atau Ustaz Zubir bagi membantu siasatan.


“Kepada yang mempunyai maklumat mengenai Ustaz Zubir, diminta tampil memaklumkan kepada polis dengan segera,” katanya.


Sementara itu, dalam perkembangan sama, Acryl berkata, Pengarah Urusan DBI Properties Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman direman semula untuk kali keempat selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan perumahan membabitkan kerugian RM6.8 juta.


”Ini adalah kali keempat pelakon berkenaan dikenakan tahanan reman selepas melalui proses yang sama selama dua hari di Ampang, Selangor dan di Muar, Johor dan tiga hari di Shah Alam, Selangor sebelum ini.


”Boy Iman direman bagi membantu siasatan bersangkut laporan polis yang dibuat di Sungai Petani, Kedah,” katanya.


Menurutnya, turut direman selama dua hari, tiga rakan suspek iaitu Kassim Arunasalam, Muhammad Umar Abdul Jamil dan Siti Norbaiyah Yahya turut dikenali sebagai Datuk Anggun.


“Permohonan reman semua suspek diperlukan bagi meneruskan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan sebelum pendakwaan dilakukan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.


Pada 2 Oktober lalu, Boy Iman dan tiga yang lain ditahan susulan 188 laporan polis oleh mangsa yang mendakwa ditipu dua syarikat menawarkan rumah pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu kira-kira RM60,000 untuk sebuah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.


Sehingga Jumaat lalu, jumlah laporan polis yang dibuat mangsa bertambah kepada 210 laporan dari seluruh negara, membabitkan projek di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.


Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]