Derma organ kurang sambutan

in Edisi Pahang by


JERANTUT – Perasaan takut dan stigma negatif jika seluruh organ diambil selepas mereka meninggal dunia menjadi antara kemungkinan rakyat negara ini  masih kurang kesedaran untuk menjadi salah seorang penderma organ.


Pengerusi Kumpulan Perolehan Tisu dan Organ Hospital Daerah Jerantut, Dr Wan Shahira Wan Ibrahim berkata, pengambilan organ daripada seorang penderma memerlukan prosedur ketat termasuklah mendapat kebenaran waris.


Menurutnya, selain itu, penderma juga perlu berada dalam keadaan sihat dan bukan penghidap penyakit berjangkit.


“Banyak perkara yang perlu dititikberatkan, justeru bukanlah sesuatu kebimbangan untuk seseorang menjadi penderma organ. Malah ia juga bukanlah kesalahan dari sudut agama,” katanya.


Beliau juga berkata, mereka yang berikrar sebagai menerima kad ikrar bukan bermaksud mereka bersetuju untuk menderma organ tetapi juga sebagai sokongan terhadap pendermaan organ serta membantu waris membuat keputusan apabila keadaan memerlukan.


Menurutnya, berbanding negara luar, kesedaran terhadap pendermaan organ dalam kalangan rakyat negara ini masih kurang.


Meskipun begitu katanya, jumlah mereka yang mendaftar ikrar penderma organ meningkat dari tahun ke tahun.


Bersempena Sambutan Minggu Kesedaran Penderma Organ Peringkat Negeri Pahang 2017 ( Zon 2) bertempat di Taman I-City Jerantut dan Pekan Sehari Jerantut, semalam, seramai 168 warga daerah ini telah mendaftar dan berikrar sebagai penderma organ.


Kempen bermula seawal jam 7 pagi sehingga jam 1 petang itu  disempurnakan perasmiannya oleh wakil Ahli Parlimen, Ahli Majlis Daerah Jerantut, Datuk Abdul Ghaffar Abdul Mutalib.


Majlis turut dihadiri Pengarah Hospital Jerantut, Dr S Theeban dan Timbalan Pengarah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, Dr Nor Azlina Ariffin.


Abdul Ghaffar dalam ucapannya berkata, seramai 22,085 pesakit buah pinggang peringkat akhir kini sedang menunggu organ.


“Angka ini meningkat setiap hari dan saya percaya pelbagai usaha telah dilakukan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan supaya tidak mengalami pelbagai penyakit yang boleh mengakibatkan kegagalan organ peringkat akhir selain kepentingan pendermaan organ supaya dapat bantu menyelamatkan nyawa.


“Melihatkan perkara itu, saya menyeru kepada semua agar menyokong kempen yang dijalankan ini dalam usaha membantu pesakit yang setiap hari menunggu untuk mendapatkan organ baharu sekali gus berharap agar lebuh ramai yang akan tampil berikrar sebagai penderma organ,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]