Hasil tani perlu ada harga lantai

in Edisi Pahang by


MENTAKAB – Kerajaan disarankan menetapkan harga lantai bagi setiap hasil pertanian dikeluarkan petani tempatan sebagai usaha membantu golongan tersebut terus bertahan dan menjadi pengeluar makanan untuk negara.


Ketua MCA Temerloh Datuk Wong Tat Chee berkata, harga minima yang ditetapkan kerajaan itu juga membantu golongan petani meraih keuntungan dalam bidang yang diceburi sekali gus menjamin pengeluaran makanan negara.


“Ketika ini petani mengeluarkan sayur-sayuran sentiasa berhadapan dengan masalah turun naik harga yang menyebabkan ramai yang berminat menceburi bidang pertanian tidak berani untuk melabur.


“Di negara China kerajaan mereka sangat menjaga kebajikan petani dengan meletakkan harga tetap yang membolehkan petani meraih untung dan pengguna tidak membeli pada harga mahal, ini sebenarnya akan menjamin bekalan makanan dalam negara,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat beberapa kawasan pertanian di dalam Dun Mentakab di Seberang Temerloh, di sini semalam.


Menurutnya, apabila harga rendah, petani di negara ini tidak mampu lagi bertahan dan mereka akhirnya gulung tikar dan kerajaan terpaksa mengimport lebih banyak makanan dari negara luar.


“Saya ambil contoh harga timun ketika ini hanya RM1 dan kadang kala hanya RM0.30 sahaja setiap kilogram sudah tentu menyebabkan beban kepada petani sedangkan harga runcit dijual pekedai kepada pengguna masih tinggi.


“Jika harga sayuran seperti timun ini masih rendah sudah tentu ia akan menyebabkan petani berhadapan dilema kerana kos pengeluaran tinggi sedangkan harga jualan murah, ini akan menyebabkan petani tertekan sekali gus meningkatkan risiko menutup perniagaan,” katanya.


Tat Chee berkata, kerajaan perlu mempunyai mekanisme tertentu untuk melindungi petani daripada terus ditekan dengan harga rendah dan pada masa sama mengambil kira harga yang munasabah dikenakan pula terhadap pengguna.


Dalam pada itu, Tat Chee berkata, sebuah tabung khas akan diwujudkan untuk membantu petani mendapatkan pusingan modal khususnya usahawan tani yang baru ingin melibatkan diri dalam bidang pertanian.


“MCA Temerloh akan berusaha untuk mendapatkan sumber kewangan sama ada daripada kerajaan atau pihak swasta bagi membantu golongan usahawan pertanian.


“Saya rasa golongan yang menganggur ini sekiranya diberikan modal pusingan antara RM3,000 hingga RM5,000 mereka sudah boleh memulakan projek secara kecil-kecilan,” katanya.


Menurutnya, dengan keluasan tanah maksima 0.8 hektar petani mampu meraih pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.


“Kalau BN menang nanti saya akan pastikan tabung kebajikan usahawan tani ini akan ditubuhkan untuk membantu golongan petani ini dengan syarat mereka membayar balik pinjaman yang diberikan,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]