'Henti perlekeh Kerajaan Negeri Selangor'

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar didakwa terpaksa menggunakan kepakaran kerajaan Selangor untuk menyelesaikan masalah pengurusan kediaman berstrata meskipun dilihat kerap memperlekehkan usaha kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah perumahan di negeri ini.


Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Noh diminta menghentikan sikap suka memperlekehkan kerajaan negeri kerana jelas beliau memerlukan kepakaran Selangor secara dasarnya.


“Buktinya dapat dilihat melalui Konvensyen Nasional JMB/MC peringkat kebangsaan kelmarin, wakil dari Selangor dijemput membentangkan kaedah menangani isu penduduk yang enggan membayar caj penyelenggaraan.


“Wakil Selangor, Siti Rosmawar Mohd Sahi, Ketua Jabatan COB, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkongsi pengalaman membantu JMB dan MC yang berhadapan dengan penduduk yang degil menerusi kaedah penyitaan,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan jemputan itu dan sentiasa bersedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan demi kebaikan rakyat.


“Sebelum ini, kerajaan negeri benarkan projek-projek perumahan kerajaan persekutuan seperti PR1MA dan PPA1M menikmati insentif yang sama seperti Rumah Selangorku.


“Kita terkilan dengan tindakan Noh yang terus menyerang kerajaan negeri seolah-olah beliau menjilat semula ludahnya,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]