Inisiatif kerajaan negeri bantu rakyat

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Penganjuran Karnival Kerjaya Johor 2017 membuktikan kesungguhan kerajaan negeri yang sentiasa komited membantu rakyat mendapatkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.


Karnival yang diadakan sempena Eskpo Johor Berkemajuan 2017 itu berlangsung selama dua hari bermula 7 dan 8 Oktober di kawasan tanah lapang Bangunan Dato Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar, di sini.


Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyanathan berkata, program itu merupakan inisiatif kerajaan negeri menerusi Unit Swadaya Insan Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor.


“Program ini menyediakan platform bagi rakyat mendapatkan informasi dan membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.


“Ia juga julung kali diadakan bertemakan Ke Arah Johor Berkemajuan iaitu selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam pembangunan Swadaya Insan secara berterusan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Karnival Kerja Johor 2017, kelmarin.


Katanya, karnival itu juga berperanan sebagai ‘one stop centre’ (pusat sehenti) yang menyediakan pelbagai input kepada pengunjung secara langsung dari pihak majikan.


Dalam pada itu, Vidyanathan berkata, kerajaan negeri akan sentiasa menjalin kerjasama baik dengan pihak swasta bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini khususnya.


“Kerajaan negeri tidak akan mengabaikan nasib rakyat terutama generasi belia dan golongan yang mencari kerja.


“Dengan kepesatan pembangunan yang dibawa masuk ke negeri ini dalam pelbagai sektor, kami lebih komited menyediakan pelbagai peluang kerja,” katanya.


Karnival itu disertai 108 majikan terdiri dari pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, kewangan, pelancongan, perhotelan, pembuatan, peruncitan dan lain-lain sektor yang menawarkan sebanyak 7,000 kekosongan sepanjang karnival itu berlangsung.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]