Kaedah pemutuan hasil padi dikekalkan

in Nasional by


KUALA KURAU – Keputusan perlaksanaan kaedah pemutuan sebenar hasil padi terpaksa dikekalkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani(MOA) kerana pemansuhannya akan menjejaskan sebahagian rantaian nilai industri padi sendiri.


Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabeery Chik berkata, gesaan golongan pesawah meminta kerajaan pusat memansuhkan perlaksanaan kaedah pemutuan sebenar padi sememangnya dalam perhatian pihaknya selama ini.


Bagaimanapun, beliau menegaskan kementerian juga perlu mengimbangi bebanan ditanggung pemain industri padi lain seperti pengilang kerana keputusan menaikkan harga padi kepada RM1,200 satu tan metrik memberi tekanan kepada mereka untuk mendapatkan hasil padi memenuhi kualiti ditetapkan standard pemutuan sebenar.


Menurutnya, sebagai contoh, sebelum harga padi dinaikkan, jumlah kilang padi swasta di Kelantan ada 16 buah, sebelum berkurangan kepada enam buah dan akhirnya keseluruhannya ditutup selepas perlaksanaan kenaikan harga padi diumumkan kerajaan.


“Perkara ini ada kaitan dengan langkah kerajaan menaikkan harga padi tahun lepas. Tetapi sebagai timbal balas, kalau harga padi naik dan kualiti hasil padi tidak baik, pengilang masih lagi dipaksa mengambil hasil padi pada kadar pemutuan rendah, sudah pasti mereka rugi.


“Bila ada pihak rugi, ianya akan menjejaskan sebahagian rantaian nilai industri padi sendiri dan atas sebab itu kerajaan perlu mengimbangi bebanan ditanggung kesemua pemain industri padi selain golongan pesawah,” katanya kepada media selepas sesi dialog khas bersama golongan pesawah daerah Kerian di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan(PPK) Kuala Kurau, di sini hari ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]