Kejayaan Zuhairi jadi inspirasi

in Edisi Terengganu by


MARANG – Kejayaan seorang anak muda dari Rhu Muda di sini, yang memenangi dua pingat emas dan satu perak pada temasya Sukan Para Asean 2017 memberi inspirasi kepada anak-anak muda di Marang.


Naib Ketua Pemuda Pas Dun Rhu Rendang, Arif Ariffin berkata, kejayaan Zuhairi Ahmad Tarmizi dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda khususnya di kawasan Dun Rhu Rendang.


Menurutnya, walaupun dalam pentas berbeza namun kejayaan Zuhairi dalam acara berbasikal pada temasya sukan itu menjadi suntikan semangat kepada anak muda dalam mengharungi cabaran sukan atau bidang lain.


“Kejayaan hebat atlet kurang upaya negara pada acara sukan adalah satu berita menggembirakan.


“Jadi sudah pasti kita juga mahu lihat kejayaan sama dapat dilakukan anak muda lain walaupun dalam bidang berbeza,” katanya di sini.


Beliau berkata demikian selepas mengunjungi Zuhairi bersama ahli jawatankuasa Penyelaras Pemuda Pas Dun Ru Rendang di Rhu Muda, di sini, bagi meraikan kejayaan pemuda itu mendapat dua pingat emas dan satu perak.


Katanya, walaupun atlet terlibat dalam sukan berkenaan adalah kategori kurang upaya namun sokongan sama perlu diberikan peminat sukan negara walaupun terdapat kekurangan pada mereka.


“Kita juga menyampaikan sedikit cenderahati sebagai sumbangan dan penghargaan daripada pihak Pemuda Pas Dun Ru Rendang kepada Zuhairi kerana berjaya mengharumkan nama negeri Terengganu,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]