KUD 2017: Lebih 700 produk, perkhidmatan diijual

in Nasional by


PETALING JAYA- Lebih 700 produk dan perkhidmatan tempatan akan dijual pada Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017), yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober sehingga 22 Oktober nanti.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua produk dan perkhidmatan yang dijual merangkumi produk makanan, pertanian, pelancongan, kesihatan dan lain-lain lagi.


“Kita nak tunjukkan bahawa produk tempatan yang dikeluarkan usahawan tempatan setanding dengan produk luar negara.


“Beza antara produk tempatan dengan produk luar negara adalah dari segi persembahan produk (packaging). Tetapi, produk kita sama hebat dengan produk luar,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis Pra Pelancaran KUD 2017 di pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama, di sini hari ini.


Menurutnya, 700 usahawan tempatan luar bandar akan menyertai karnival tersebut yang berlangsung selama empat hari itu, tetapi pada 19 Oktober, karnival itu hanya dibuka kepada peserta karnival dan pemain industri sahaja.


Ismail Sabri berkata, pada 19 Oktober, peserta karnival akan bertemu dengan 80 pemain industri, iaitu yang terdiri daripada syarikat tempatan dalam satu sesi padanan perniagaan.


“Dengan adanya sesi ini, produk usahawan ini berpeluang untuk dijual di hypermarket milik syarikat ini dan ini merupakan salah satu langkah untuk produk ini menembusi pasaran luar negara.


“KUD akan dibuka kepada orang ramai pada 20 Oktober, yang mana  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir bagi merasmikan karnival itu secara rasmi,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]