Landskap Malaysia sedia bantu lindungi Lojing

in Nasional by


KOTA BHARU – Landskap Malaysia bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan bagi melindungi tanah tinggi Lojing di Gua Musang daripada terus diancam hakisan akibat pembukaan tanah untuk pertanian dan pembalakan yang tidak terkawal.


Pengerusi Landskap Malaysia Tun Dr Jeanne Abdullah berkata penggondolan dan hakisan tanah serta pencemaran air sungai yang berlaku di tanah tinggi berkenaan yang bersempadan dengan Cameron Highlands amat menyedihkan.


“Tanah tinggi Lojing mempunyai khazanah hutan yang amat berharga seperti bunga Rafflesia yang terbesar di dunia namun sekiranya persekitaran habitatnya terancam ia mungkin akan musnah, oleh itu usaha-usaha bagi mengekalkan persekitaran semula jadi perlu dilakukan,”  katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Kelestarian yang disampaikan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra pada Konvokesyen UMK Ketujuh di sini, hari ini.


Jeanne berkata penggondolan kawasan tanah tinggi boleh menyebabkan hakisan tanah yang teruk serta menyumbang kepada kejadian banjir lumpur.


Selain memastikan kawasan hutan yang masih ada dipelihara, program penanaman pokok perlu dipergiatkan selain pihak berkuasa seperti Jabatan Perhutanan mengambil tindakan terhadap penceroboh kawasan hutan simpan, kata Jeanne.


Beliau menggesa pihak-pihak berkaitan termasuk institusi pengajian tinggi supaya proaktif dalam menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti khazanah hutan yang pelbagai termasuk tumbuhan herba yang kaya dengan khasiatnya.


“Landskap Malaysia sentiasa bekerjasama dengan UMK dalam memastikan alam sekitar dan khazanah hutan negara khususnya di Kelantan menjadi sumber utama dalam menentukan kesejahteraan kehidupan dan kemajuan negara,” katanya.


Jeanne yang juga isteri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi amat menghargai anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah yang dikurniakan UMK kepada beliau. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]