LKU banteras kes penipuan pakej umrah

in Bisnes by


PELAKSANAAN Lesen Khas Umrah (LKU) sejak awal Oktober memberikan manfaat membanteras masalah penipuan dalam pengendalian pakej umrah sekali gus membantu bakal jemaah untuk membezakan syarikat pengendali pakej umrah yang berlesen atau tidak berlesen.


Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris berkata, LKU mengenakan beberapa syarat kepada pengendali pakej umrah antaranya warganegara Malaysia dan beragama Islam dan mempunyai perjanjian muasasah atau perjanjian kerjasama dengan syarikat berstatus muasasah.


Menurutnya, setakat ini, jumlah syarikat pengendali umrah yang mendapat kelulusan LKU adalah 58 dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa kerana Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memproses permohonan syarikat pengendali pakej umrah secara berperingkat.


“Pelaksanaan LKU untuk memudahkan kementerian memantau kes-kes penipuan yang berlaku setiap tahun. LKU juga memudahkan pengurusan pengendali pakej umrah dan jemaah umrah,” katanya.


“Saya berharap bakal jemaah umrah yang berdaftar dengan syarikat pengendali umrah sebelum ini tidak panik dan meragui dengan status syarikat yang belum disenaraikan dan mendapat kelulusan LKU oleh kementerian,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: LKU pantau syarikat, agensi pakej umrah]


Ida Riswana berkeyakinan bahawa setiap permohonan LKU yang dibuat syarikat pengendali pakej umrah mengikut prosedur yang ditetapkan dan ia mengambil masa untuk kelulusan.


“Situasi panik dalam kalangan bakal jemaah terjadi kerana pelaksanaan LKU berlaku hampir musim umrah dan mereka risau sekiranya gagal ke Tanah Suci.


“Mereka tidak perlu bimbang kerana banyak pengendali pakej umrah sedia ada adalah sah tetapi perlu menunggu permohonan diluluskan untuk memiliki LKU, malahan tempoh masa yang diberikan adalah sehingga Disember nanti,” katanya.


Beliau berkata, Andalusia adalah sebuah syarikat pengendali umrah yang menerima LKU, baru-baru ini.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]