Maahad wanita perlu sumbangan

in Edisi by


MACHANG – Rasa cinta pada al-Quran dan ilmu agama mendorong penubuhan Maahad Anwar Al-Bayan yang menawarkan pusat pengajian pondok perempuan, di sini.


Bermula dengan menyewa bangunan di Kampung Chekok, Pulai Chondong, pusat pengajian tersebut bakal dibina di Kampung Banggol Judah, dekat sini.


Pengurusnya, Arman Awang berkata, Maahad Anwar Al-Bayan memerlukan dana kira-kira RM2.5 juta untuk menyiapkan pusat pengajian tersebut.


Katanya, pusat pengajian pondok perempuan tersebut menawarkan pengajian al-Quran, kitab dan bahasa Arab secara sepenuh masa.


Tambahnya, buat permulaan, seramai enam pelajar telah mengikuti pengajian tersebut yang bertempat di lokasi sementara di Pulai Chondong.


“Pembinaan tersebut merangkumi pusat pengajian, asrama, rumah guru, masjid dan dewan. Kami mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk sama-sama merealisasikan penubuhan pondok ini seterusnya membantu golongan muda menuntut ilmu.


“Pembinaan akan dimulakan secara berperingkat berdasarkan sumbangan orang ramai,” katanya.


Arman berkata, kelas pengajian pondok itu dikendalikan guru wanita, Nursyazwani Arman yang merupakan lulusan Dar Azzahraa Hadramaut, Yaman.


Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembinaan maahad tersebut boleh menghubunginya nombor 011-20613496 atau 012-9621097.


“Kami mengalu-alukan apa sahaja bentuk bantuan termasuk bahan binaan. Boleh hubungi pihak kami jika mahu membantu dalam bentuk peralatan.


“Penubuhan maahad ini bertujuan memberi peluang dan kemudahan kepada anak perempuan untuk mendalami agama,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]