Mangsa kemalangan rindu hendak ke sekolah

in Edisi Johor by


PONTIAN – Seorang pelajar tingkatan empat terpaksa berjalan menggunakan tongkat selepas terlibat kemalangan jalan raya, dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.


Mohd Hafizulfazli Zulkarnain, 16, sudah tiga kali menjalani pembedahan tulang pinggul dan usus akibat kecederaan serius yang dialami.


Ibunya, Saniah Mohd Arip, 40, berkata, anak keempat daripada lima beradik itu kerap menangis pada waktu malam kerana tidak tahan dengan kesakitan di bahagian pinggulnya.


Katanya, Hafizulfazli tidak mampu berjalan seperti biasa dan memerlukan tongkat kerana terdapat skru di tulang pinggulnya.


“Anak saya kemalangan sewaktu pulang dari beraya. Waktu itu dia naik motosikal.


“Sampai sekarang dia masih belum boleh ke sekolah. Ada juga dia cakap rindu dengan kawan-kawan. Dia juga risau sebab akan menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun hadapan,” katanya.


Saniah ditemui ketika menerima kunjungan Biro Kebajikan Umno Bahagian Tanjung Piai diketuai Md Israk Abdullah di rumahnya di Kampung Duku Jalan Pontian Johor Bahru di sini, semalam.


Sementara itu, Md Israk berkata, program ziarah ke rumah untuk menyampaikan sumbangan bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan seperti pelajar sekolah, ibu tunggal dan penduduk miskin.


Menurutnya, ziarah ke tujuh rumah yang dilakukan semalam turut mengunjungi sebuah keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Sawah terbakar minggu lalu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]