Motac kerjasama dengan KDN, atasi ancaman pelampau

in Nasional by


KUALA TERENGGANU – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan keselamatan di masjid-masjid yang menjadi tumpuan pelancong terhindar dari ancaman kumpulan pelampau.


Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya melalui Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaras dengan itu akan memperkukuhkann unit keselamatan masjid-masjid agar ancaman keselamatan dapat dihindari dari peringkat awal.


Menurutnya, KDN di bawah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya mengagalkan satu demi satu ancaman kumpulan pelampau termasuk cubaan membakar rumah ibadat.


“Sebab itu, Motac melalui ITC, dalam usaha untuk kita mempromosikan pelancongan masjid (30 masjid yang disenarai sebagai masjid pelancongan) di negara ini berada dalam keadaan selamat, kita harus bekerja rapat (bekerjasama) bukan hanya dengan pihak Jakim tetapi juga KDN.


“Bawa (jemput) mereka untuk sama-sama mungkin dalam memberi sesi taklimat (keselamatan), memberi maklumbalas atau ‘update’ (kemas kini) situasi terkini.  Kepada pengurusan masjid pula perlu lebih ‘elert’ (peka) dan cakna tentang apa yang berlaku supaya jika ada perkara yang meragukan boleh lapor terus.


“Dan tidak boleh berpeluk tubuh sahaja, perlu mainkan peranan walaupun ahli jawatankuasa (AJK) masjid sahaja,” katanya.  


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Persidangan Meja Bulat Imam Kebangsaan Edisi Pelancongan Masjid kali ke Dua di Hotel Grand Puteri, hari ini.


Seramai 81 peserta hadir ke persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam bagi mewujudkan pemahaman, peningkatan kesedaran serta keterbukaan pihak pengurusan masjid mengenai kepentingan dan manfaat pelancongan masjid.


Semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan wujudnya kumpulan tertentu yang mahu membakar rumah ibadat di negara ini.


Kumpulan itu dikatakan mahu mencetuskan kegelisahan sosial dalam kalangan rakyat pelbagai kaum agama di negara ini, susulan penangkapan lapan individu oleh Pasukan Anti Keganasan Cawangan Khas PDRM.


Sementara itu, Mas Ermieyati berkata  pihaknya akan bekerjasama dengan KDN dalam menambah jumlah pengawal keselamatan bagi mengawasi keselamatan di setiap sudut masjid terutama yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara dapat dikawal.


“Unit keselamatan memang sudah ada di masjid tetapi kita mahu perkuatkan lagi, ini bertujuan mengawal keselamatan dan memaklumkan apa sahaja senario yang berlaku walaupun ia sekadar ugutan.


“Selain itu, jemaah juga perlu memainkan peranan untuk melapor kepada pihak keselamatan terutama bila lihat terdapat individu atau kumpulan yang tiba-tiba datang dan disyaki menyebarkan ajaran tidak baik,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]