Padah pamer lambang Istana Selangor tanpa tauliah

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Akibat mempamerkan lambang Istana Negeri Selangor tanpa tauliah pada kereta mewah miliknya, seorang ahli perniagaan didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.


Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Amin Alli, 56, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan lambang Istana Negeri Selangor pada kenderaan jenis Porsche Cayenne S berwarna hitam miliknya tanpa tauliah.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat hari sekiranya gagal membayar denda. Amin membayar denda itu.


Amin yang melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan sebuah hotel di sini pada 28 Sept lepas didakwa mengikut Seksyen 8 (1)(a) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Terhadap Pameran) 1949 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman denda kerana dia tidak mengetahui perbuatan itu salah di sisi undang-undang.


Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak memandang remeh terhadap undang-undang negara.-Bernama


 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]