Persiapan GNN 2017 berjalan lancar

in Nasional by


KEMAMAN – Persiapan Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 14 Oktober ini di Pantai Kuala Kerteh dan dijangka akan menggumpulkan antara 15,000 hingga 20,000 orang nelayan kini sedang rancak dilakukan.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, proses persediaan yang dilakukan berjalan lancar termasuk persiapan dari segi logistik yang turut membabitkan laluan masuk ke tapak program.


Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman, pihaknya turut menyediakan kemudahan bas untuk mengangkut pengunjung dari tempat parkir ke tapak program dan kemudahan bas juga disediakan kepada mereka yang tinggal di kampung-kampung berdekatan untuk datang.


“GNN yang pertama kali diadakan di negara kita ini adalah satu manifestasi atau cerminan kepada cara kita untuk menghargai nelayan dan cara nelayan untuk menunjukkan pengorbanan dan dedikasi mereka untuk memenuhi (bekalan) sumber protein dan kenikmatan kepada kehidupan rakyat selama ini.


“Jadi ini satu usaha untuk menyanjungi mereka, menyanjungi cara mereka mencari makan untuk keluarga dan diri mereka. Mereka berikan kita nikmat ikan, udang, sotong dan ketam. Program ini merupakan satu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya akan berlaku pada kali ini,” katanya ketika meninjau gotong-royong perdana pembersihan tapak program itu, di sini, hari ini.


Menurut beliau, pada program itu layanan istimewa akan turut diberikan kepada anak-anak nelayan dan pelajar sekolah di seluruh Kemaman


Tambah Ahmad Shabery, pengunjung yang hadir akan menyaksikan pelbagai acara rekreasi nelayan antaranya seperti acara dam aji terbesar seperti yang dilakukan nelayan pada waktu lapang mereka seterusnya membolehkan orang ramai berkongsi pemikiran dan perasaan bersama golongan nelayan.


Beliau berkata lagi, orang ramai yang datang juga akan berkesempatan melihat perarakan bot dan kreativiti mereka menghias bot di samping dapat mendengar luahan nelayan tentang bot dan yang berkaitan dengan sumber rezeki mereka.


Sepanjang tiga hari GNN 2017, Ahmad Shabery memaklumkan, lebih 70 acara sampingan turut diadakan dan ia keseluruhannnya menjadi satu lonjakan semangat kepada nelayan dan penduduk persekitaran tapak program berkenaan.


“Kebiasaannya kalau ada perhimpunan begini kita himpunkan mereka di bawah satu kanopi besar dan keluarkan belanja besar untuk mendengar ucapan daripada pemimpin atau ahli politik tapi pada kali ini kita mininumkan ucapan.


“Kali ini pemimpin datang untuk melihat nelayan dan bukannya nelayan datang untuk lihat pemimpin.


“Sebahagian besar acara adalah di luar dewan termasuk di dalam hutan rhu, di celah-celah pokok yang akan bolehkan kita selami kehidupan sebenar nelayan,” katanya lagi.


GNN 2017 berkenaan bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada kemuncak program itu pada 14 Oktober nanti.


Lebih menarik, program itu akan dihangatkan lagi dengan persembahan barisan artis dan selebrit popular iaitu Ramli Sarip, Tajul, Wany Hasrita, Mat Dan dan Erry Putra.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]