Rumah terbakar: Mok Nab mohon bantuan rumah

in Edisi by


KOTA BHARU – Keluarga Wan Nur Fatihah Wan Hanafi, 19, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Bunga Emas, Penambang, di sini hangus terbakar dipercayai akibat api misteri memohon bantuan pihak tertentu untuk mendapatkan kediaman baharu.


Nenek Wan Nur Fatihah, ZainabĀ  Sulaiman, 80, atau lebih dikenali sebagai Mok Nab berkata, dia serta menantu dan tiga cucu kini terpaksa menumpang berteduh di rumah saudara-mara yang tinggal berhampiran.


“Saya bukan hendak hidup menongkat langit pun, tidak lama lagi akan pergi menemui-Nya juga. Namun, Mok tidak sampai hati hendak melihat menantu dan cucu hidup menumpang di rumah orang lain.


“Jika ada pihak yang simpati dan mahu menghulurkan bantuan untuk membina kediaman di atas tapak rumah lama ini kami sangat menghargainya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.


Sebelum ini kisah api misteriĀ  menjadi perhatian sejak 2010, berikutan kewujudan api terbabit yang membakar lebih 100 helai pakaian milik keluarganya selain tilam dan langsir.


Dalam kejadian pada jam 10 pagi, 19 September lalu, kediaman tersebut akhirnya hangus manakala dua lagi rumah jirannya terbakar sehingga 90 peratus kerana gangguan itu.


Hasil tinjauan Sinar Harian, keluarga itu berteduh di sebuah bangsal di hadapan tapak rumah lama tersebut dan akan ke rumah saudara-mara yang terletak berhampiran untuk tidur.


Mok Nab berkata, dia tidak meminta kediaman mewah dari pihak berwajib sebaliknya cukuplah untuk keselesaan mereka sekeluarga meneruskan kehidupan harian.


“Kami sekeluarga berterima kasih atas sumbangan orang ramai yang banyak membantu selepas kebakaran meranapkan kediaman ini yang telah didiami sejak lebih 30 tahun lalu,” katanya.


Sementara itu,Wan Nur Fatihah Wan Hanafi, 19, berkata, dia begitu terkilan dengan kecaman diterima keluarganya daripada orang ramai berhubung kejadian malang yang menimpa.


“Mereka tidak berada di dalam situasi kami jadi sewenang-wenangnya mereka melemparkan tohmahan.


Nur Fatihah berkata, api misteri tersebut muncul lagi pada tengah hari semalam yang turut membakar beberapa kawasan termasuk kain dan barangan di rumah ibu saudaranya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]