‘Saya sekarang sudah mati akal’

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Tidak pernah ke sekolah, pergerakan terbatas, sebarang pekerjaan mahu pun dokumen tidak dapat dimohon.


Itulah nasib dialami seorang pemuda yang hidup dalam sengsara apabila hidup tanpa memiliki kad pengenalan.


Dia bukan pendatang asing tanpa izin, tetapi hanya disebabkan tidak berjumpa dengan ayah kandungnya membuatkan dia gagal mendapatkan kad pengenalannya sehingga kini.


Mohd Ramdani Buhari, 25, dijaga keluarga angkat sebaik sahaja ibunya meninggal dunia kira-kira setahun lalu.


Perkahwinan ibu dan ayahnya tidak kekal lama apabila mereka bercerai sewaktu usianya 10 tahun.


Menurut Ramdani, bapanya lewat mendaftarkan permohonan kad pengenalannya sehinggalah ibu bapanya tidak lagi tinggal bersama.


Selepas kedua orang tuanya berpisah, katanya, bapanya, Buhari Suafie meninggalkan dia bersama ibunya sendirian, sehingga menyebabkan hidup mereka dua beranak tidak menentu.


“Saya tidak pernah pergi ke sekolah, tetapi Alhamdulillah atas usaha sendiri saya boleh membaca dan menulis sedikit.


“Lima tahun lalu, keluarga angkat saya telah membantu membuatkan permohonan mendapatkan IC melalui surat beranak. Tetapi sehingga kini JPN tidak benarkan saya mengambilnya sendiri, mereka minta ayah kandung saya datang mengambilnya.


“Macam mana saya nak jumpa dengan ayah kandung, berhubung pun tidak pernah, dia pun hilang begitu sahaja tanpa sebarang khabar berita, di mana dia tinggal dan tempat kerjanya juga saya tidak tahu, saya langsung tidak ada maklumat mengenai ayah kandung saya.


“Disebabkan saya tidak dapat cari ayah kandung, IC saya sehingga kini tidak boleh diambil, dan saya sekarang sudah mati akal nak buat macam mana lagi untuk dapatkan IC,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Ramdani berkata, dia dimaklumkan oleh pegawai JPN bahawa kad pengenalannya itu sudah siap, tetapi tidak boleh dituntut selagi ayah kandungnya tidak datang bersama.


Disebabkan itu, katanya, hidupnya sehingga kini merana, tiada majikan yang mahu ambil bekerja, tidak dapat mengambil sebarang lesen kenderaan, malah setiap permohonan juga tidak layak dibuat gara-gara tiada kad pengenalan.


“Walaupun JPN tidak benarkan saya mengambil kad pengenalan, tetapi saya mempunyai nombornya dan itu sahaja yang menjadikan saya boleh bertahan, namun jika mana-mana pihak yang berurusan mahu tengok IC memang saya tidak dapat bagi.


“Saya pernah mohon BR1M, empat tahun saya mohon semuanya lulus, tetapi apabila tiba waktu untuk saya mengambil BR1M, saya tidak boleh menuntutnya kerana tidak ada IC,” katanya.


Disebabkan itu, Ramdani merayu kepada ayah kandungnya, yang mempunyai alamat terakhir di Taman Melawati, Ulu Klang Selangor, menghubunginya di talian 019-6722151 untuk membantunya mengambil kad pengenalan.


Menurutnya, dia bukan mahu meminta apa-apa, cuma mahu minta tolong datang berjumpanya untuk mengambil kad pengenalannya yang sehingga kini ‘tersangkut’ di JPN.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]