Umno sedia jalin kerjasama

in Edisi by


GUA MUSANG – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menyokong apa jua bentuk kerjasama antara mana-mana parti sekiranya ia memberi kebaikan kepada rakyat.


Menurut beliau, Umno sedia bekerjasama dengan mana-mana parti sekiranya parti berkenaan menerima dasar perjuangan Umno demi kepentingan rakyat.


“Kerjasama antara Umno dan Pas itu sudah terbentuk terutamanya dari segi pelaksanaan program agama. Namun, dalam politik belum ada lagi.


“Untuk bergabung, masih tiada cadangan dan saya tidak fikir akar umbi akan menyokong, begitu juga dengan Pas. Kena kaji dulu. Jangan jadi pisang berbuah dua kali.


“Perbandingan DNA yang sama antara Umno dan Pas itu mungkin dari segi objektif dan bukan dari segi perjuangan,” katanya selepas merasmikan Himpunan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Dewan Terbuka Bukit Cekati, di sini.


Turut hadir, Ahli Lembaga AIM, Datuk Mohamad Shahaimi Othman; Penaung Kelab Sahabat Usahawan Gua Musang, Datuk Wan Hazani Wan Noor dan Pengerusinya, Zanariah Abd Rahim.


Terdahulu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa meramalkan akan terbentuk kerjasama antara Umno dan Pas dari semasa ke semasa kerana kedua-dua parti itu mempunyai DNA yang sama.


Ditanya mengenai pertembungan tiga penjuru pada PRU 14 di negeri ini, Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang menganggap ia akan memberi kelebihan kepada Umno.


“Bagus sekiranya ada pertembungan ini di mana Umno tidak boleh tunggu lagi. Malah, kita yakin rakyat Kelantan akan memihak kepada kita.


“Bukan sahaja tiada sebarang kemajuan sepanjang pemerintahan Pas, malah hampir 50 peratus rakyat terpaksa keluar cari makan di luar.


“Pemerintahan yang sedia ada membuatkan rakyat tidak berpeluang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih terjamin,” katanya lagi.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]