Yakin berlaku tsunami semua kaum pada PRU14

in Politik by


SHAH ALAM – ‘Tsunami Melayu’ pasti akan berlaku pada PRU14 tetapi bukan kepada Pas atau Umno/BN sebaliknya kepada Pakatan Harapan (Harapan).


Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, ‘tsunami Melayu’ ini akan bergabung dengan ‘tsunami bukan Melayu’ bagi memastikan Harapan terus memerintah dan berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan.


“Saya hormati kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre dan mana-mana pihak berkenaan perkara ini, namun begitu saya yakin ‘tsunami Melayu’ tidak akan memberi sokongan kepada Pas pada kali ini.


“Pas akan berada di kedudukan paling tercorot dalam sejarah yang membabitkan sekutu Umno, bahkan kita jangkakan hanya satu kerusi yang akan dimenangi  Pas di negeri ini iaitu di Dun Bangi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kajian oleh sebuah firma penyelidikan bahawa ‘tsunami melayu’ tidak menjamin kemenangan kepada Harapan meskipun pembangkang mendakwa ia akan menjejaskan Umno pada pilihan raya akan datang.


Terdahulu, Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, walaupun terdapat tindak balas terhadap BN, pengundi Melayu mungkin akan mengundi Pas dan  bukannya pakatan pembangkang.


Mengulas perkara itu lagi, Suee Lim yang juga Adun Sekinchan berkata, pada kali ini juga bukan hanya ‘tsunami Melayu’ akan berlaku bahkan juga ‘tsunami bukan Melayu’ membabitkan orang Cina, India dan lain-lain diramalkan berlaku berikutan tekanan hidup dengan kenaikan harga barang, GST dan sebagainya.


“Mereka menolak kerajaan BN kerana tekanan-tekanan ini termasuk 1MDB yang sehingga kini tiada penyelesaian. Mereka mahukan kerajaan yang boleh  memperjuangkan nasib dan masa depan mereka.


“Saya yakin sokongan orang bukan Melayu begitu kuat kepada Harapan, tekanan hidup yang dihadapi sejak kebelakangan ini menyebabkan mereka menolak BN,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]