5,000 sukarelawan Paca diperlukan

in Edisi by


PALOH – Pakatan Harapan memerlukan kira-kira 5,000 ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (Paca) untuk membantu berkempen di 26 kawasan parlimen di negeri ini pada PRU14 nanti.


Adun Mengkibol, Tan Hong Pin berkata, di Johor sahaja dijangkakan terdapat 3,134 tempat mengundi di kesemua 26 kawasan parlimen di seluruh negeri ini.


Berikutan itu katanya, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 5,000 Paca untuk bertugas di setiap tempat mengundi bagi memastikan perjalanan PRU14 berlangsung secara adil, bebas dan bersih tanpa ada mana-mana pihak yang menjalankan apa-apa bentuk penyelewengan.


“Misi untuk memenuhi permintaan tenaga kerja sebesar ini merupakan satu perkara yang hampir mustahil sekiranya hanya bergantung kepada Pakatan Harapan. Kita hanya mampu memenuhi permintaan yang besar ini dengan penglibatan daripada orang awam.


“Permintaan yang besar ini mungkin tidak begitu kritikal atau tidak mengalami halangan terlalu besar di kawasan bandar yang menjadi tumpuan orang ramai.


“Bagaimanapun, saya menjangkakan masalah akan dihadapi di kawasan luar bandar kerana penduduk di sana tidak begitu ramai dan sokongan penduduk yang masih belum hangat memandangkan Pakatan Harapan masih baru kepada mereka,” katanya selepas taklimat bersama Paca di Paloh, semalam.


Hong Pin berkata, memandangkan keperluan di kawasan luar bandar lebih kritikal, pihaknya memerlukan penglibatan yang lebih ramai daripada orang awam dan kerja-kerja merekrut sudah mula giat dilakukan.


Jelasnya, sebagai langkah permulaan beliau telah memberi taklimat Paca di pekan Paloh kepada sukarelawan yang bakal membantu berkempen untuk DAP dan Pakatan Harapan di kawasan Paloh dalam PRU14.


“Paca memainkan peranan yang penting dalam proses perjalanan pilihan raya yang bebas dan adil. Penglibatan sukarelawan untuk menjadi Paca adalah salah satu faktor penting yang akan menentukan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU akan datang.


“Memandangkan keadaan dan sumber yang amat terhad yang dihadapi Pakatan Harapan kami memerlukan penglibatan daripada orang awam untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan dalam kempen PRU akan datang khasnya bertugas sebagai Paca,” katanya.


Hong Pin turut menyeru kepada anak-anak muda yang cinta kepada tanah air supaya mendaftar sebagai Paca untuk PRU14 nanti supaya dapat bersama-sama mempertahankan sistem pilihan raya yang adil, bebas dan bersih.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]