Bergelut dengan polis untuk lepaskan diri

in Semasa by


KLANG – Sanggup bergelut dengan anggota polis semata-mata untuk meloloskan diri.


Namun tindakan itu mengundang padah apabila suspek berusia lingkungan 20-an berjaya dicekup ketika cuba melarikan diri dalam pemeriksaan di Jalan Sungai Jati dekat sini, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, pihaknya daripada anggota MPV Klang Selatan telah melihat sebuah motosikal yang tidak bernombor pendaftaran dinaiki dua lelaki.


Menurutnya, dalam keadaan yang mencurigakan itu, pihaknya telah menahan motosikal terbabit untuk pemeriksaan.


“Kedua-dua suspek kemudian telah melarikan diri sebelum anggota kita telah mengejarnya.


“Salah seorang suspek berjaya ditahan dan berlaku sedikit pergelutan antara suspek dan polis. Bagaimanapun rakan suspek berjaya meloloskan diri,” katanya.


Beliau berkata, semakan yang dibuat mendapati motosikal ini dilapor hilang bersabit kes Klang Selatan selain suspek ini dikehendaki bersabit kes dadah.


Katanya, suspek dan motosikal jenis Yamaha Y100 telah dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.


“Kita dalam usaha mengesan seorang lagi rakan suspek. Siasatan masih dijalankan dan dipercayai suspek telah aktif sejak dua tahun lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]