Harga ikan naik: Q'Fish jadi alternatif

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menyediakan pelbagai jenis ikan segar sejuk beku Q’Fish sebagai pilihan kepada pengguna berikutan kenaikan harga ikan kembung yang tinggi pada akhir-akhir ini.


Pengerusinya, Ahmad Rudin Hussain berkata, antara pilihan jenis ikan itu ialah ikan siakap, selar kuning dan senangin yang harganya lebih stabil ketika ini.


“Selain itu, pengguna juga boleh memilih ikan yang mempunyai harga lebih berpatutan dan kualitinya setanding dengan ikan segar antaranya ikan pelaling, sardin (selayang), tongkol, cencaru dan keli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata ikan kembung adalah spesies ikan yang bergantung semata-mata kepada tangkapan kerana ia tidak boleh diternak seperti beberapa jenis ikan lain.


Ahmad Rudin berkata kenaikan harga ikan itu hanyalah sementara berikutan keadaan cuaca yang kini memasuki musim tengkujuh, menyebabkan kos nelayan untuk pergi ke laut lebih tinggi, selain berhadapan kesukaran dan cabaran.


Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melakukan tinjauan di jeti pendaratan mendapati kekurangan ikan kembung di jeti pendaratan di seluruh negara menyebabkan harganya tidak stabil dan sedikit mahal dengan ditetapkan pada harga RM12 sekilogram. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]