Pas edar kuih bulan kepada peniaga Cina

in Edisi Johor by


MUAR – Bagi meraikan masyarakat Cina sempena pesta tanglung baru-baru ini, Pas Kawasan Maharani mengambil pendekatan mengedarkan sebanyak 80 biji kuih bulan kepada peniaga di sekitar pekan Parit Bakar di sini.


Adun Maharani, Dr Mohammad Taslim berkata, aktiviti santai yang diadakan selama sehari itu bertujuan menyantuni masyarakat Tionghoa di sini, sekali gus diharapkan mampu mengeratkan hubungan antara mereka walaupun berlainan agama.


“Melalui pendekatan ini, kita berupaya mendekatkan diri dengan bangsa itu yang mana ia dapat mewujudkan hubungan baik dalam masyarakat majmuk di negara kita.


“Aktiviti ini diadakan secara tahunan dan kali ini Pas mengedarkan kuih bulan ini kepada 80 kedai di sekitar pekan Parit Bakar. Jika tahun-tahun lalu, kami mengedarkannya kepada orang ramai, namun kali ini kami turun mendekati pengusaha kedai pula,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya memilih kuih bulan untuk diagihkan kerana juadah itu sinonim dengan budaya masyarakat Cina dalam meraikan festival-festival tertentu.


“Ia juga secara tidak langsung menimbulkan tanggapan yang baik masyarakat bukan Islam terhadap Pas. Kerana sebelum ini, kebanyakan mereka menganggap Pas hanya memberi tumpuan dan menjaga kebajikan perkara berkaitan Islam sahaja.


“Sedangkan apabila bergelar wakil rakyat, kami membantu semua kaum tanpa mengira agama. Justeru, melalui platform ini kita juga berupaya mencetuskan konsep perpaduan sambil meraikan golongan ini dalam pelbagai acara dan festival,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]