Pasang papan tanda cegah aktiviti minum arak

in Edisi by


PERAI – Pemasangan papan tanda amaran dan larangan untuk aktiviti tidak sihat seperti melepak dan minum arak di kawasan taman rekreasi serta taman permainan awam diharapkan dapat membendung budaya itu dari terus berlarutan sehingga mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.


Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshel berkata, pihaknya prihatin dengan keluhan masyarakat di beberapa tempat yang mengadu berkenaan kehadiran beberapa individu melepak di kawasan taman permainan pada waktu malam sambil meminum arak.


Menurutnya, perbuatan tidak bermoral itu bukan sahaja mengundang rasa tidak selesa penduduk kerana mewujudkan bunyi bising malah isu kebersihan turut menjadi pertikaian apabila mereka membuang botol dan tin minuman keras merata-rata.


“Isu ini bukan perkara baru dan pihak MPSP sebelum ini telah mengambil pelbagai langkah produktif bagi mengatasi masalah ini malah polis juga sebelum ini melakukan rondaan serta menegur kumpulan dan peminum arak ini,” katanya.


David berkata, beliau dan seorang lagi Ahli Majlis, M Satees mengeluarkan peruntukan mereka untuk memasang lima buah papan tanda amaran dan larangan meminum arak di kawasan awam di sekitar Butterworth dan Perai.


Katanya, sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan serius masalah sosial akan menjadi lebih parah dan akan berlaku keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda akan datang.


“Buat masa ini kita hanya memasang papan tanda amaran ini di Taman Bagan Baru, Taman Ria, Taman Jawa di kawasan Butterworth manakala di kawasan Perai kita memasang papan tanda ini di Taman Supreme dan Taman Prai Utama.


“Saya juga akan meminta kepada MPSP memasang lebih banyak lagi papan tanda amaran ini di kawasan lain dan berharap ia akan memberi kesan positif kepada masyarakat di sini,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]