Perlu akur desakan ramai

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui DAP & PKR perlu akur dengan desakan ramai pihak agar tidak membenarkan penganjuran pesta arak termasuk menghormati arahan pihak berkuasa.


Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sudah pun menjelaskan bahawa Bukit Aman ada menerima maklumat risikan yang terdapat ancaman keselamatan terhadap pesta berkenaan.


Justeru katanya, kerajaan negeri tidak seharusnya terus menimbulkan kekecohan berkaitan penganjuran pesta berkenaan.


“Dalam mendepani isu ini, kita dapat lihat dengan jelas bahawa DAP beriya-iya mempertahankan pesta berkenaan untuk terus diadakan.


“Malah, Pas yang merupakan sekutu rapuh Pakatan Rakyat (jika masih wujud) dalam kerajaan negeri terus ditekan dan Pas sendiri dilabel ‘mabuk’ apabila menyatakan pendirian membantah pesta berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan media.


Menurutnya, rakyat Selangor terus keliru dengan apa yang berlaku, sedangkan Pas melalui struktur pentadbiran kerajaan negeri mempunyai tiga wakil dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) turut membantah perkara berkenaan.


Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor meneliti perkara ini dan mendesak satu tindakan konkrit diambil oleh kerajaan negeri yang diberi mandat.


“Kami tidak membantah keperluan dan hak rakan bukan Islam untuk mengambil minuman beralkohol namun apa yang dikesali adalah, mengapa ia perlu dianjurkan secara ‘pesta’ dan diberi liputan meluas seolah-olah tidak menghormati agama Islam yang diiktiraf sebagai agama negeri dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor?


“Jangan berterusan mengusik sensitiviti umat Islam di negeri ini kerana pendirian kami jelas bahawa sebarang tindakan yang cuba menyentuh syiar Islam perlu dihentikan tidak kira apa jua pegangan politik.


“Sekiranya mahu minum dan menganjurkan pesta seumpamanya, adakan di lokasi tertutup dan tidak perlu diangkat menjadi satu pesta yang pasti akan menjurus kepada perlakuan maksiat dan masalah sosial yang lain,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]