Presiden Maduro bangga jadi terkenal kerana Trump

in Global by


CARACAS – Presiden Venezuela Nicolas Maduro menerusi satu siaran televisyen baru-baru ini, menyindir Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kerana membuatkannya “menjadi terkenal”.


“Sebagai pemimpin sebuah negara, ia satu penghormatan kerana nama dan negara saya sering menjadi sebutan.


“Trump menjadikan saya terkenal di seluruh dunia. Setiap kali dia menyebut nama saya seolah-olah  mereka amat mencintai saya,” kata Presiden Venezuela sejurus selepas pulang dari lawatan rasmi ke Rusia, Belarus dan Turki.


Tambah beliau, pertikaian dengan presiden AS itu membantunya menjalin hubungan dengan negara lain yang turut mempunyai hubungan dengan Washington.


Pertikaian kedua-dua pemimpin menyebabkan Trump mengenakan sekatan ke atas Venezuela termasuk sekatan kewangan pada Ogos, sekaligus menyekat institusi kewangan AS dari meminjamkan wang kepada Venezuela dan syarikat minyak negara PDVSA.


Sekatan tersebut turut memberi kesan kepada syarikat minyak Citgo yang merupakan penyumbang besar kepada rizab Venezuela dan mata wang asing.


Susulan sekatan tersebut, Maduro berkata pada pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, beliau berbincang kemungkinan untuk dagangan minyak dijalankan menggunakan mata wang Rusia.


Selain itu, beliau turut bercadang menukarkan urus niaga perdagangan negara ke euro, yen dan rupee.


Selain sekatan ekonomi, pegawai tertinggi dan tokoh politik Venezuela termasuk penguatkuasaan undang-undang juga dilarang memasuki AS.


Source: SH Global

[featured-video-plus]