Sindiket rumah murah jual impian

in Semasa by


MODUS operandi utama sindiket pemaju rumah murah ini ialah bersandarkan kepada menjual impian semata-mata.


Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi berkata, setakat ini terdapat 400 aduan polis dan lebih 100 masih menunggu giliran.


Paling menghibakan beliau ialah kebanyakan mangsa yang terperdaya putar belit pemaju kaki temberang ini terdiri daripada warga emas yang tinggal di kawasan kampung.


“Saya begitu tersentuh apabila yang datang mengadu itu makcik-makcik kampung yang ada tanah dan sangat mengimpikan rumah idaman mereka terbina namun semua hanyalah angan-angan kosong. Duit mereka hangus, pemaju hidup mewah.


“Jenayah seleweng duit orang ini lebih berat daripada membunuh, kerana jenayah tipu ini boleh menyebabkan orang membunuh diri dan bercerai- berai akibat tertekan, ini lebih berdosa,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurut aktivis pengguna yang telah mengabdi diri selama tujuh tahun ini, PPIM bukan hakim untuk melemparkan tuduhan kepada pemaju yang kononnya mampu membina sebuah rumah idaman dengan kos rendah kepada golongan marhaen tetapi mereka didalangi mastermind  gila duit dengan menjual impian kepada golongan memerlukan.


“Kita dah buat kajian dan forensik sebenarnya modus operandi pemaju putar alam  lebih kepada menjual harapan sedangkan projek yang diuar-uarkan itu tidak wujud pun.


“Ia lebih kepada sistem multi level marketing (MLM) yang mensyaratkan ejen perlu cari seorang pembeli dengan harga RM50,000 kemudian cari lagi dua orang cukupkan RM150,000 untuk dia bina seunit rumah.


“Lebih teruk lagi, perkara ini tidak dimaklumkan langsung kepada pembeli, janji dan tawaran yang dihebahkan hanyalah palsu.  Ada juga beberapa orang individu bergiat aktif dalam aktiviti ini, kerja dia buka tutup syarikat saja,” dedahnya.


Muhammad Yusuf berkata, pihaknya ada mendapatkan maklumat daripada arkitek dan Quantity Surveyor (QS) nilai harga kos rumah RM110,000 tapi pemaju harus kira kos pengurusan dan logistik serta keuntungan jadi biasa dijual dengan harga RM150,000 atau RM175,000.


“Itu yang pelik, bagaimana pemaju boleh jual dengan harga RM50,000? Ini jelas penipuan tidak masuk akal yang menjual impian


“Pembelit ini seharusnya diambil tindakan ke atas organisasi, pengurus syarikat harus diaudit oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


“Akaun peribadi, syarikat, akauntan, kakitangan harus diburu dan disemak. Ini bukan soal nilai duit namun ia lebih kepada harapan masyarakat yang mengimpikan rumah sebab sekarang ini harga rumah seluruh negara melambung tinggi, mereka ambil kesempitan atas kesusahan orang lain,” katanya.


Tambah beliau, perjuangan PPIM dalam usaha menangani isu penipuan perumahan ini ialah menghentikan modus operandi syarikat pemaju pembohong ini.


“Perkara ini memerlukan kerjasama bersepadu antara polis, LHDN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  untuk semak dan teliti kegiatan ini. Ejen putar belit ini juga makin bercambah.


“Saya tidak ada masalah jika pengasas syarikat pemaju itu hidup mewah jika itu hasil daripada titik peluhnya mencari rezeki halal. Tapi mereka tipu orang ramai, janji bulan bintang dan seleweng duit itu untuk kegunaan peribadi,” ujarnya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Diperdaya harga rumah murah]


Dalam pada itu, Muhammad Yusuf turut meminta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar agar tidak mengambil hati atas kritikannya dan tidak menganggap itu sebagai penghinaan.


“Saya cuma nasihatkan Tan Sri (Noh) untuk lebih berhati-hati pada masa depan dalam menerima pelawaan merasmikan sesuatu projek atau syarikat.


“Saya yakin niat beliau baik untuk melihat rakyatnya memiliki sebuah rumah dengan kos yang rendah. Tetapi, inilah perancangan licik syarikat-syarikat menipu guna kesempatan mencemarkan nama-nama orang berpengaruh ini.


“Jangan biar individu hanya bergelar datuk memanipulasi menteri untuk jalankan penipuan begitu besar,” katanya.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]