Tandas kotor: Lesen boleh ditarik

in Edisi by


IPOH – Penarikan lesen perniagaan boleh dikenakan terhadap mana-mana premis yang didapati mengabaikan aspek kebersihan tandas.


Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, langkah itu akan dilakukan sekiranya pengusaha tidak mematuhi syarat dan peringatan setelah notis amaran diberikan.


Menurutnya, daripada Januari hingga Ogos tahun ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengeluarkan 46 notis, 407 teguran secara lisan dan 58 kompaun terhadap pengusaha premis yang gagal mematuhi kriteria kebersihan tandas.


“Ini langkah penguatkuasaan yang kita lakukan, mana yang masih mengabaikan notis kebersihan tandas, kita tidak akan teragak untuk menarik lesen perniagaan mereka.


“Ianya sudah dilaksanakan pun, ada yang kita berikan notis sudah pun ditamatkan lesen perniagaannya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan turun padang meninjau keadaan tandas di Taman DR Seenivasagam yang mencapai taraf lima bintang dan Medan Selera Dato’ Sagor berada dibawah kategori empat bintang, hari ini.


Zamri berkata, hingga Jun lepas, hanya 10 peratus daripada 990  tandas yang berjaya dinilai termasuk di sekolah dan rumah ibadat berada pada penarafan lima bintang sementara selebihnya dalam kelas tiga bintang.


Bagaimanapun katanya, menjelang penghujung Disember ini, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus tandas di sekitar bandar raya ini mencapai penarafan antara empat dan lima bintang, sesuai dengan pengiktirafan MBI sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di negara.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]