Bidaan KEL dijangka cecah RM2j

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Bidaan nombor pendaftaran kenderaan baharu siri KEL dijangka mendapat kutipan tender hingga mencecah RM2 juta berbanding nombor termahal siri KEE di negeri itu sebelum ini.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, berdasarkan rekod, bidaan nombor pendaftaran kenderaan tertinggi di Kedah ialah siri KEE pada 2016.


“Sebelum ini, nombor pendaftaran kenderaan siri KEE mencatatkan rekod pungutan tertinggi sebanyak RM1.8 juta, malah siri KEE1 dibida sehingga RM308,000.


“Bagi siri KEK, bidaan tender mencecah RM1.5 juta yang mana siri KEK1 dibida pada harga RM189,000 kira-kira tiga bulan lalu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti, di sini, semalam.


Turut hadir, Ketua Unit Pendaftaran JPJ Kedah, Zulkarnain Abd Rahman dan Pegawai Perhubungan Awam JPJ Kedah, Iskandar Zulkarnain Mohamad Ali.


Bagaimanapun kata Ismasuhaimi, JPJ Kedah menjangkakan bidaan termahal dicapai bagi siri KEE dapat dipecahkan siri KEL yang dibuka bermula kelmarin.


“Bidaan nombor pendaftaran kenderaan KEL1 hingga KEL9999 dibuka selama dua minggu bermula 9 hingga 23 Oktober depan,” katanya.


Menurutnya, pihak menetapkan sasaran kutipan KEL mencecah RM2 juta berikutan nombor siri itu memiliki kombinasi unik untuk dijadikan rebutan.


“Antaranya, KEL4177 (KELAM), KEL413 (KELAB), KEL145 (KELISA), KEL1 (KELI), KEL422 (KELAZZ), KEL1847 (KELIBAT), KEL113 (KELIB) dan KEL4555 (KELASS),” katanya.


Beliau berkata, nombor pendaftaran kenderaan KEK yang kini mencapai siri KEK4687 masih berjalan dan ia dijangkakan mencapai 9,000 pada awal bulan depan.


“Bidaan nombor pendaftaran kenderaan dipecahkan kepada empat kategori, iaitu nombor emas, nombor menarik, nombor popular dan nombor semasa.


“Bidaan nombor emas dibuka bermula RM10,000 diikuti nombor menarik (nombor dua angka) bermula RM2,000, nombor popular (nombor kahwin) bermula RM300 dan nombor semasa bermula RM210,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambahnya, pemilik kenderaan diingatkan mematuhi peraturan ditetapkan JPJ dengan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi ditetapkan di sebalik keghairahan membida siri diidamkan.


“Orang awam boleh membuat bidaan dengan membuat tempahan kepada Pengarah JPJ Kedah ataupun melayari laman web JPJ http://www/jpj.gov.my untuk maklumat lanjut,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]