‘Dulu lain, sekarang lain’

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


“DULU lain, sekarang lain,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sendayan, Mohd Yusof Ismail, 73, tatkala mengimbau kembali perubahan dialami kawasan terbabit sebelum dan selepas menerima limpahan pembangunan hingga bergelar Bandar Sri Sendayan.


Menggalas jawatan itu sejak 1996 hingga kini kecuali antara 2002 dan 2003, Mohd Yusof berkata, paling ketara selain kemunculan pelbagai kemudahan disifatkan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan adalah sistem jalan raya yang lebih kondusif.


“Kalau dulu setiap kali nak ke bandar Seremban kena guna laluan lama, sama ada ikut Jalan Labu atau Jalan Rasah.


“Jauh guna laluan lama, sebab jaraknya lebih kurang 20 kilometer. Sedangkan Jalan Kayu Ara masa tu masih bentuk laluan kecil dan bukannya macam sekarang.


“Tapi bila datang pembangunan, jalan pun turut dinaik taraf sejak tahun 2000. Sekarang lagi bagus sebab dah boleh ikut Jalan Bukit Nanas yang jaraknya lebih kurang 10 kilometer saja,” katanya.


Secara tidak langsung, katanya, kawasan berhampiran turut mendapat tempias daripada nikmat pembangunan dikecapi.


“Bila sistem jalan dah elok, lebih mudah orang ramai nak ke Kampung LBJ. Impaknya, kawasan di situ pun sama naik dengan Sendayan sampai jadi hab pendidikan,” katanya.


Harga rumah semakin meningkat


Namun paling menguntungkan penduduk, kata Mohd Yusof, semestinya pemilikan rumah banglo setingkat dan tanah berkeluasan 0.8 hektar (2 ekar) diperoleh daripada kerajaan negeri.


“Itu kira macam pelaburan jangka panjang memandangkan nilai rumah dan tanah yang kami dapat dah meningkat berkali ganda.


“Dulu nilai rumah tu seunit cuma sekitar RM240,000, manakala tanah dua ekar pula lebih kurang RM390,000.


“Difahamkan berdasarkan harga pasaran semasa, nilainya sekarang dah mencecah RM700,000 dan tanah pula lebih RM1 juta,” katanya.  


Menurutnya, kemajuan pesat di Bandar Sri Sendayan turut memberi impak terhadap kuasa beli penduduk kampung terutama melibatkan kenderaan.


“Satu masa dulu, memang penduduk banyak bergantung pada perkhidmatan bas awam. Tapi jumlah yang menggunakannya semakin berkurang sekitar era 90-an.


“Paling ketara bila penduduk dah dapat duit pampasan. Rasanya sekarang, dalam seorang dua saja yang guna bas awam setiap hari,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]