Hampir setengah jalan runtuh

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


JASIN – Saluran pembetung air di Lorong Tepian Sungai Kampung Terentang, di sini runtuh, malam kelmarin akibat hujan lebat berterusan.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Terentang, Ahmad Baharuddin berkata, runtuhan turut menyebabkan laluan berkenaan tidak boleh dilalui, seterusnya mencetuskan kebimbangan penduduk.


Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan pihak berkenaan untuk mengelakkan runtuhan menjadi semakin besar dan serius.


“Terdapat pembetung di bawah jalan dan runtuhan tanah ini. Ia merupakan laluan air.


“Hampir setengah dari jalan tersebut retak dan runtuh,” katanya di sini semalam.


Jelasnya, penduduk setempat bimbang jika tindakan segera tidak diambil, akan menyebabkan kejadian lebih buruk berlaku.


“Ini kerana hujan pada bila-bila masa sahaja. Jadi kita tak mahu sekiranya berlaku runtuhan lebih besar.


“Masalah ini juga bahayakan pengguna. Sekiranya ia runtuh ketika mereka lalu jalan ini, pasti boleh mengancam nyawa,” katanya.


Ahmad berkata, pihaknya berterima kasih kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran Jasin, Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya  yang telah menjalankan lawatan ke kawasan tersebut bagi melakukan tinjauan dan pemerhatian awal.


“Menurut pihak berkenaan, kerja-kerja pembaikan akan dilakukan secepat mungkin.


“Bagaimanapun, kita harap kerja-kerja tersebut berjalan lancar supaya penduduk dapat guna jalan ini untuk keluar dan masuk ke rumah mereka semula,” katanya.


Hadir sama melakukan tinjauan di lokasi kejadian, Adun Rim, Datuk Ghazale Muhammad.


Runtuhan tersebut turut menyebabkan pokok di sekitarnya tumbang dan menghempap kabel lampu di kawasan itu.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]