Permohonan perintah jagaan hari ini

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan memohon perintah jagaan sementara kanak-kanak yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan lehernya dirantai pada tong gas oleh bapa tirinya di sebuah rumah di Indera Mahkota di sini, Khamis lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, permohonan itu akan dibuat pegawai JKM negeri di mahkamah Sivil di sini, hari ini.


Menurutnya, permohonan itu hanya membabitkan perintah jagaan sementara tidak membabitkan hal lain kerana siasatan berhubung kejadian ini masih dijalankan.


“Esok (hari ini) kita jangka mahkamah mungkin akan menentukan siapa yang mendapat hak jagaan sementara itu,” katanya.


Sementara itu Pengarah JKM negeri, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, setakat ini jabatan itu masih belum menemu bual ibu kanak-kanak terbabit.


Menurutnya, pihaknya sudah menghantar kakitangan ke rumah keluarga itu hujung minggu lalu, namun ibu mangsa yang berusia 37 tahun mengatakan belum bersedia untuk bertemu dengan sesiapa.


“Kami sudah ke sana untuk mendapatkan maklumat tambahan ibu mangsa dan setakat ini dia belum bersedia untuk berkongsi apa yang berlaku dengan mana-mana pihak.


“Tapi, dia berjanji akan memberikan kerjasama minggu ini. Jadi, kami harap dapat bertemunya dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk dakwaan kononnya ada adik mangsa yang turut pernah dipukul oleh bapa tiri mereka (suspek).


“Buat masa ini, kita perlu memberikan masa kepada keluarga ini. Jangan beri mereka tekanan atau terlalu awal menghukum mereka,” katanya lagi.


Dalam pada itu, pihaknya juga bersedia untuk melaksanakan saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim untuk memberikan kaunseling kepada keluarga terbabit.


Khamis lalu, negara dikejutkan dengan penemuan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun diselamatkan pihak polis di kediamannya di Indera Mahkota dalam keadaan leher diikat pada tong gas dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Insiden itu menyaksikan bapa tirinya yang juga anggota tentera berusia 32 tahun ditahan reman sejak Jumaat lalu dan disambung lima hari lagi bermula semalam manakala ibu mangsa sudah dibebaskan.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]