Pesara tentera dikhuatiri lemas ketika cari batu

in Edisi by


KUALA KRAI – Seorang pesara tentera dikhuatiri lemas ketika keluar mencari batu bersama ahli keluarganya di Sungai Kenerong, Dabong, petang semalam.


Sebelum hilang dibawa arus deras,mangsa,Zamri Abdullah,44,dari RPT Sungai Terah Gua Musang sempat meminta anak serta ahli keluarga yang lain menyelamatkan diri .


Mangsa, ke lokasi kejadian bersama adiknya,Zamzuki,40, isteri,Nor Zalmawati Mat Nor,43, serta beberapa ahli keluarga  lain  kira-kira jam 12.30 tengahari   mencari batu untuk diletakkan di pusara ibunya yang meninggal dunia empat hari lalu.


Ketua Polis Daerah Kuala Krai,Superintendan Abdullah Roning berkata,ketika mangsa dan ahli keluarganya sedang mencari batu, paras sungai naik secara tiba-tiba.


“Apabila melihat paras air naik secara tiba-tiba,mangsa mengarahkan anak – anak serta  ahli keluarga yang lain naik ke tebing.


“Pada masa sama mangsa serta  adiknya, Zamzuki turut memanjat tebing tetapi kedua-duanya tergelincir lalu jatuh ke sungai dan dibawa arus deras,” katanya kepada Sinar Harian.


Abdullah berkata, Zamzuki yang tersangkut pada batu berjaya menyelamatkan diri,tetapi mangsa hilang dibawa arus sungai.


Susulan kejadian,operasi mencari dan menyelamatkan mangsa  dilakukan lewat petang semalam melibatkan pihak polis serta anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai.


Operasi dihentikan jam 7 petang dan akan disambung pagi ini.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]