Polis Selangor sasar 100,000 sukarelawan VSP

in Semasa by


KLANG – Polis Selangor menyasarkan penyertaan 100,000 sukarelawan dalam program “Volunteer Smartphone Patrol” (VSP) bagi menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di negeri ini menjelang akhir tahun ini.


Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor Datuk K. Kumaran berkata setakat ini pihaknya berjaya merekodkan hampir 30,000 penyertaan sejak aplikasi VSP dilancarkan pada 25 Mac lepas.


“Aplikasi itu akan menjadi medium kepada orang ramai melaporkan terus kepada polis mengenai aktiviti atau kejadian jenayah dalam bentuk gambar atau video yang berlaku di kawasan masing-masing.


“Kita yakin sasaran itu mampu dicapai sebelum akhir tahun hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat selain memperhebatkan dialog bersama masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai program berkenaan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi ramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di Little India di sinui hari ini sempena perayaan Deepavali yang turut disertai Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli.


Kumaran berkata, VSP boleh dimuat turun secara percuma melalui aplikasi Google Play dan App Store pada telefon pintar masing-masing.


“Orang ramai perlu mendaftar sebagai ahli VSP terlebih dahulu sebelum mula berkongsi maklumat dan mereka juga boleh menggunakan nama samaran bagi mengelakkan identiti mereka diketahui.


“Polis Selangor sangat mengalu-alukan penyertaan orang ramai dan berharap mereka dapat memanfaatkan penggunaan telefon pintar masing-masing. Dengan penyertaan ini diharapkan juga kegiatan jenayah di negeri ini dapat dikurangkan,” katanya. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]