Puas dapat bantu orang lain

in Uncategorized by


SERI MANJUNG – Pelbagai cara boleh dilakukan bagi membantu golongan memerlukan, termasuklah mengumpulkan pakaian terpakai untuk disumbangkan kepada orang ramai.


Itulah yang dilakukan oleh Siti Rohani Mohd Hashim, 36, bersama suaminya, Arbani Abdullah, 49, yang tinggal di Lorong Teluk Haji Salim, Kampung Datuk Seri Kamarudin, di sini.


Pasangan ini yang turut menjual pakaian terpakai dengan harga murah mula terfikir untuk turut memberi sumbangan pakaian itu apabila ramai yang menyerahkan pakaian terpakai kepadanya.


Menurut Siti Rohani, pakaian berkenaan akan dikumpulkan terlebih dahulu di rumahnya sebelum disumbangkan kepada golongan memerlukan.


“Sebelum ini saya beli pakaian terpakai dengan harga murah dan dijual semula dengan harga RM1 hingga RM5 berdasarkan kualiti pakaian berkenaan.


“Namun ramai yang sumbangkan pakaian terpakai kepada kami, jadi timbul idea supaya pakaian itu disumbangkan pula kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian.


Dia berkata, usaha yang sudah memasuki tahun kedua itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai penyumbang yang sering menyumbangkan pakaian mereka.


“Kami agihkan tiga kali setahun iaitu ketika musim cuti sekolah, menjelang hari raya dan waktu-waktu tertentu.


“Mereka yang mahu pakaian ini akan datang ambil dan pilih sendiri di kediaman kami mana pakaian sesuai untuk mereka,”  katanya yang membasuh dahulu pakaian sumbangan orang ramai itu.


Sementara itu, Arbani pula memberitahu, pengalaman menjalani hidup yang sukar menjadi pendorong untuk dirinya membantu mereka yang memerlukan.


“Kami juga bukanlah orang senang namun ia tak bermakna kami tak boleh bantu orang lain.


“Walaupun bukan sumbangan wang ringgit namun sekurang-kurangnya ada usaha kita nak bantu melalui sumbangan pakaian terpakai,” katanya yang bekerja kontrak.


Katanya, sehingga kini pengagihan pakaian berkenaan dilakukan hanya di rumah dengan mengiklankannya di Facebook.


“Kami dah biasa dengan bungkusan dan timbunan baju yang banyak di rumah. Apa yang penting pihak yang terima sumbangan ini merasa lebih gembira.


“Itu dah jadi satu kepuasan kepada kami bila dapat bantu mereka secara tidak langsung,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]